Keputusan Kementerian Pendidikan untuk mengekalkan penggunaan novel kontroversi, Pantai Kasih yang memuatkan gambaran perlakuan seksual di antara doktor dan jururawat sebagai teks komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu mengundang reaksi sinis golongan penulis.
Pengarang Razali Endun menyarankan supaya novel Shit oleh Sasterawan Negara kedua, Prof Emeritus Dato’ Dr Shahnon Ahmad selepas ini turut diiktiraf sebagai teks Komsas memandangkan karya satira politik era Reformasi itu juga mengungkapkan proses biologi tubuh dalam gaya penulisan sastera seperti ditekankan oleh pihak kerajaan.
“Kalau Kementerian Pelajaran kata novel lucah itu (Pantai Kasih) masih boleh diterima oleh para pelajar, saya cadangkan novel Shit juga diangkat kerana bukan mudah nak mengarang novel seperti Shit.
Bahkan karya itu pun hasil tulisan seorang Sasterawan Negara,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline semalam.
Mengulas kenyataan pihak Kementerian Pendidikan dalam sidang media kelmarin yang turut menyebut tentang Pantai Kasih dapat merangsang pelajar untuk berfikir secara rasional dalam membuat justifikasi, beliau berkata, Shit juga lebih jauh memiliki kekuatan bagi tujuan tersebut.
“Shit membawa pembaca bagaimana susahnya nak keluarkan tahi dari lubang dubur. Bahkan, lubang dubur dalam Shit diberi nama lubang keramat. Nah, jelas mengandungi kiasan dan perlambangan seperti dikehendaki pihak kementerian.
“Unsur biologi pun terang-terang ada di situ iaitu berkaitan sistem perkumuhan yang sama penting diketengahkan selain sistem pembiakan seperti novel yang diangkat itu,” jelas Razali lagi yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 menerusi novel berjudul Nenek.
Terdahulu, Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (Pena), Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata, beliau difahamkan bahawa novel karya Azmah Nordin itu pada mulanya tidak tersenarai untuk dinilai panel pemilih.
Sehubungan itu, beliau yang juga anak kepada penerima Sasterawan Negara tahun 2003, Prof Madya Dr Syed Othman Syed Omar atau S. Othman Kelantan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sama ada pemilihan novel tersebut sebagai teks Komsas mematuhi prosedur yang dikehendaki.