Selepas seminggu di IJN, Mahathir dibenar keluar

Oleh ARIF ATAN

Tun Dr Mahathir Mohamad dibenar keluar hospital hari ini selepas menjalani rawatan dan pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 16 Disember lalu.

Bekas Perdana Menteri itu sudah dibenarkan keluar pada jam 11.30 pagi tadi, memetik satu kenyataan IJN hari ini.

Pihak IJN juga memberitahu Ahli Parlimen Langkawi tersebut selesai menjalani pemeriksaan kesihatan dan dibenarkan pulang mengikut jadual asal.

“Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan mengambil berat sepanjang Dr Mahathir dimasukkan ke IJN sejak minggu lalu,” kata kenyataan itu.

Kelmarin, IJN dalam kenyataannya memaklumkan pasukan doktor berpuas hati dengan hasil pemantauan terhadap Dr Mahathir, 96.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu pernah mengalami serangan jantung ringan pada 2006.

Pada 2018, bekas teraju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dirawat di IJN dan pernah dimasukkan ke tempat sama pada 2016 untuk rawatan dan pemerhatian.

Dr Mahathir juga telah menjalani dua pembedahan pintasan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 1989 dan kali kedua di IJN pada 2007.