“Selepas SPM, beliau diuji dengan gangguan mental” – Rakan dedah kisah lelaki OKU dipukul di pasar malam

Oleh WAN SITI AMINAH

Alangkah terkejutnya seorang lelaki apabila melihat video rakaman memaparkan sahabat baiknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) dipukul tanpa belas kasihan di sebuah pasar tani di Chukai, Terengganu, Jumaat lalu.

Menurut lelaki dikenali sebagai Engku Fadzli itu, rakaman berkenaan telah menghancurkan hati kenalan lelaki OKU terbabit selain menyifatkan perbuatan dalam video tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan bermaruah.

Jelas Fadzli, rakannya yang lebih mesra disapa Paijang itu adalah pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek dan dikenali ramai berikutan sangat aktif bersukan terutamanya dalam permainan hoki.

Namun nasib tidak menyebelahi Paijang apabila ditimpa ujian berikutan disahkan mengalami masalah gangguan mental selepas menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang mana keadaannya tidak stabil seperti biasa.

“Nasibnya tak baik. Dia juga merupakan seorang suami dan ayah. Dia memang OKU. Tetapi setahu kami, dia tak pernah bertindak ganas. Cuma mulut sahajalah kadang-kadang bising dan kasar. Kebiasaannya dia sangat ceria dan suka bergurau. Selalu buat kelakar.

“Sehingga kini, kami masih berhubung dan ikuti perkembangan antara satu sama lain di dalam kumpulan sembang. Hancur luluh hati kami melihat video Paijang diperlakukan sebegitu. Tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak bermaruah.

“Lebih menyedihkan, mereka tahu Paijang seorang OKU. Dalam video ada seorang individu berbaju hitam halang orang pukul dengan mengatakan Paijang kurang siuman. Katanya, ‘Dia tak siuman, kalau kamu pukul juga orang tak siuman, maknanya kamu dikira tak siuman juga’,” ujarnya.

Pendedahan tersebut dimuat naik di platform Facebook di mana Fadzli turut mengucapkan terima kasih kepada individu berbaju hitam kerana cuba membantu meskipun orang lain terus memukul rakannya selepas diberi nasihat.

Fadzli di dalam hantaran sama turut mendakwa rakannya yang merupakan lelaki OKU dipukul itu mengaku bahawa motosikal miliknya telah diterajang sebelum terbabas dan melanggar gerai milik peniaga di pasar tani berkenaan.

“Boleh tengok dalam video kedua, Paijang tengking tanya siapa terajang dia. Beberapa orang juga menulis di dalam ruangan komen yang mengakui menjadi saksi bahawa memang motor Paijang ditendang hingga terbabas melanggar gerai Mi Goreng.

“Dalam video itu, memang Paijang nampak sedikit kasar dan dalam keadaan marah sebab orang menyalahkan dia. Sudah tahu Paijang itu ada masalah mental, kenapa perlu marah dan ‘provoke’ dia? Sepatutnya bantulah sebab dia terbabas,

“Kemudian baru bincang macam mana nak selesai. Kalau Paijang tak boleh dibawa bincang masa itu, tunggu polis datang dahulu. Bukannya lepaskan perasaan memukul Paijang mengikut nafsu syaitan. Dia juga diheret oleh beberapa ‘samseng’ sambil ditengking oleh orang ramai,” kesalnya.

Oleh yang demikian, Fadzli mewakili rakan-rakan sekolah menyeru agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit dalam kejadian tersebut supaya keadilan dapat ditegakkan dan insiden sama tidak berulang lagi.

Fadzli turut memaklumkan bahawa beberapa kutipan derma sudah dijalankan untuk membantu lelaki OKU itu membayar ganti rugi kepada pemilik mendakwa mengalami kerugian RM10,000 selepas kedai Mi Goreng miliknya dilanggar.

Terdahulu, lelaki OKU terbabit dikatakan menunggang motosikal sebelum melanggar sebuah gerai jualan kira-kira jam 9.30 pagi.

Pelanggaran tersebut menyebabkan barangan jualan seorang peniaga tumpah dan terjatuh sebelum lelaki OKU terbabit dipukul beberapa lelaki hingga cedera sebelum dibawa ke Hospital Kemaman untuk dirawat sebagai pesakit luar.

Baca juga: Pukul OKU di pasar tani, 3 lelaki ditahan