Kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 serta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilihat tidak mendapat sebarang bantuan selepas kerajaan memansuhkan subsidi beberapa barangan keperluan.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mempersoal di mana bantuan untuk kedua-dua golongan itu memandangkan ramai dalam kalangan mereka membelanjakan lebih daripada 25 peratus daripada pendapatan boleh guna mereka untuk makanan.
Beliau yang juga Pengerusi DAP berkata, kerajaan harus memberikan sedikit bantuan apabila subsidi minyak masak, ayam dan telur ditarik.
“Jangan sampai kita lupa pendapatan rakyat Malaysia turut terhakis oleh kemerosotan mendadak nilai ringgit yang merosot ke paras terendah dalam sejarah berbanding Dolar Singapura dan AS, dua daripada tiga rakan dagangan terbesar negara.
“Kemelesetan ekonomi dan pandemik Covid-19 sejak 2020 menyebabkan lebih 580,000 isi rumah M40 tergelincir kembali ke dalam kategori B40,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat, 21 September 2021 berkata, sebanyak 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 telah beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40.
Angka tersebut berdasarkan laporan anggaran pendapatan isi Rumah dan Insiden Kemiskinan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, PKS juga menghadapi masalah yang sama kerana tidak mendapat bantuan yang mencukupi daripada kerajaan untuk menampung kenaikan harga.
“Kos PKS ditambah lagi dengn kekurangan buruh yang teruk disebabkan oleh ketidakcekapan Menteri dan birokrasi kerajaan.
“Mengapa perlu menambah kesusahan kepada PKS sedangkan kekurangan tenaga buruh yang teruk ini boleh diselesaikan dengan mudah dengan kuasa menteri?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya Kerajaan Persekutuan tidak mengkhianati tanggungjawab mereka untuk membantu kedua-dua M40 dan PKS.
Baca juga Guan Eng persoal kenapa SPRM siasat Nazlan dan bukannya Azam Baki
Baca juga Lelaki sebak disambut orang ramai sebaik tiba di Mekah, jalan kaki 10 bulan untuk tunaikan haji