Seluar trek harga RM28 jadi isu, bapa keluh sekolah wajibkan pakaian nama sekolah

Oleh MAISARAH AISYA

Kos untuk menghantar anak ke sekolah sememangnya bukan sedikit, bukan hanya soal membeli baju seragam, malah ibu bapa perlu menanggung perbelanjaan buku, peralatan tulis dan pelbagai keperluan lain.

Bayangkan pula jika anak yang bersekolah bukan seorang, tetapi ramai jadi sudah tentu beban kewangan itu berganda dan benar-benar menguji kemampuan keluarga.

Tular di laman kumpulan WhatsApp sekolah mengenai ibu bapa yang mengeluh apabila sekolah mewajibkan pelajar memakai seluar sukan jenama yang mempunyai nama sekolah.

Menurut Kosmo! Online, bapa yang enggan dikenali memaklumkan dia terpaksa menyediakan seluar berkenaan buat tiga anak yang bersekolah di tempat sama.

“Masalahnya tak ada notis pemberitahuan awal, sehelai RM28, saya ada tiga orang anak. Seluar trek saya dah belikan sebelum ini.

“Sehelai tak cukup, kena beli dua helai untuk seorang. Saya tanya sekolah, sekiranya dah ada seluar dan tak pakai yang ada nama sekolah, mereka cakap tak boleh sebab nak seragam.

“Kalau tak ada, anak saya hanya boleh pakai pakaian seragam sekolah sahaja,” ujarnya.

Bukan hanya dia seorang yang mengeluh malah ibu bapa lain turut melakukan hal sama kerana sudah menyediakan persiapan lebih awal.

“Habis kita dah beli, banyak nak pakai wang ni. Nak puasa nak raya lagi,” luah seorang penjaga.

“Memang la orang kata yang dah beli tu boleh pakai bila-bila, tapi kami ibu bapa nak sediakan tu.

“Saya ada dua anak yang baru naik sekolah menengah, persiapan semua perlu yang baru,” ujar seorang lagi penjaga.

Baca juga: Keprihatinan pensyarah tolong jagakan anak sementara pelajar ambil ujian buat ramai tersentuh