Semak Bajet 2016: Mahfuz sifatkan ‘kabinet dapur’ PM lemah

Oleh BORHAN AHMAD

Mahfuz OmarPengumuman Perdana Menteri untuk menyemak semula Bajet 2016 mendedahkan kelemahan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak apatah lagi langkah ini dibuat ekoran trend penurunan harga minyak dunia.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan media hari ini turut mempersoalkan peranan yang sepatutnya dimainkan para penasihat ekonomi Perdana Menteri.

“Malaysia mempunyai dua orang menteri kewangan, dua orang timbalan menteri kewangan, Bank Negara, Jawatankuasa Pemandu, Petronas dan berbagai institusi kerajaan yang sepatutnya membekalkan maklumat dan nasihat yang benar dan tepat. Atau Malaysia hanya ada menteri kewangan yang makan gaji buta?” soal beliau.

Mahfuz turut menegur kelemahan kerajaan sewaktu merangka Bajet 2016 dengan bersandarkan pada harga minyak USD48 satu tong sedangkan dunia sedang mengalami trend penurunan harga minyak sejak akhir tahun 2014.

“Seingat saya Bajet 2015 juga terpaksa disemak semula kerana kelemahan dan kegagalan dalam merangka bajet tanpa mengambil kira trend sebenar penurunan harga minyak.

“Baru setengah bulan tahun 2016 bajet tahun ini sudah terpaksa disemak semula dan dibaiki.

“Langkah ini terpaksa dilakukan apabila kejatuhan harga minyak yang makin parah pada kedudukan harga USD32 satu tong. Dijangka harga minyak akan terus jatuh hingga pada kedudukan harga USD20 satu tong,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yakin jika kerajaan dapat membaca trend penurunan harga minyak sejak setahun lalu, semakan Bajet 2016 tidak perlu dibuat.

“Sepatutnya jika kerajaan daripada awal melihat trend penurunan harga minyak dunia, tidak salah kalau kerajaan bersandarkan bajet 2016 pada harga minyak dunia sekitar USD25-30 satu tong,” jelas beliau.

Menurut Mahfuz, adalah lebih baik jika kerajaan melakukan unjuran pada harga yang lebih rendah kerana jika harga minyak dunia naik pada paras harga melebihi harga unjuran ia adalah bonus untuk negara.

Kegagalan mengunjurkan bajet pada jangkaan penurunan harga minyak dunia yang sebenar, tambah beliau membuktikan kelemahan kerajaan merangka bajet berdasarkan faktor semasa.

“Inilah ‘Malaysia Boleh’ yang mempunyai jumlah anggota kabinet melebihi negara maju yang mempunyai penduduk yang jumlahnya jauh lebih besar daripada Malaysia.

“Tetapi (hakikatnya) negara Malaysia hanya memiliki ‘kabinet dapur’ yang dipenuhi dengan lipas dan tikus yang menggigit sabun cap kapak,” ujarnya sinis.