Semakan bajet 2016: Harap kerajaan tidak jejaskan kehidupan rakyat

Oleh MALAYSIADATELINE

Semakan Bajet 2016 yang perlu dilaksanakan kerajaan untuk menyerap kesan kejatuhan harga minyak mentah dunia dan pelbagai faktor ekonomi semasa diharap tidak memberi kesan drastik yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.

Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata kerajaan diharap dapat merumus strategi untuk pengubahsuaian peruntukan yang telah dibuat pada pembentangan Bajet 2016 pada Oktober tahun lepas dengan sebaik-baiknya dengan memberi keutamaan kepada golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata memang tidak dapat dinafikan kerajaan perlu melakukan pengubahsuaian Bajet 2016 untuk membolehkan belanjawan negara lebih realistik untuk berdepan situasi ekonomi semasa yang semakin mencabar di peringkat domestik dan global.

“Rakyat perlu menghadapi hakikat ini namun dalam pengubahsuaian ini kita harap tiada tindakan yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan yang kini berdepan kos sara hidup yang melambung tinggi menyukarkan kehidupan mereka diambil (kira).

“Contohnya pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)kita harap ia dikekalkan dan peruntukan-peruntukan untuk perkara lain yang melibatkan kebajikan golongan berpendapatan rendah juga tidak dipotong,” katanya hari ini.

Lee yang juga Pengerusi Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) dan Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkata,beliau yakin kerajaan akan menilai kembali pelaksanaan projek yang boleh ditangguhkan dan yang mana harus diteruskan dengan sebaik-baiknya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumamat lepas berkata kerajaan akan membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 dengan mengambil kira senario ekonomi semasa.