‘Semoga Abah kuat jaga hadiah Ummi’, isteri pendakwah Ustaz Farid Ravi meninggal dunia

Oleh KIM SYAZIE

Isteri kepada pendakwah terkenal, Ustaz Farid Ravi iaitu Datin Hajah Suziana Mohd Soyong dimaklumkan telah meninggal dunia, semalam.

Datin Suziana telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Serdang, Kajang, Selangor sekitar pukul 5.40 petang.

Berita duka itu disampaikan sendiri oleh suaminya, Prof. Madya Datuk Dr Mohd Ravi menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Menurut postingan tersebut, solat jenazah telah diadakan semalam selepas waktu Isyak di Masjid Bandar Seri Putra, Bangi.

Allahyarhamah meninggalkan enam orang anak hasil perkongsian hidup bersama Rektor/Ketua Eksekutif Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) itu.

“Perginya insan yang paling mengenali saya dan banyak jasanya. Abang doakan agar Ummi ditempatkan bersama para solihin.

“Semoga Abah kuat jaga hadiah Ummi enam orang dengan baik. Tenanglah Ummi di sana,” katanya dalam hantaran itu, semalam.

Dalam pada itu, Ustaz Farid Ravi turut mewakili arwah isterinya untuk memohon doa serta keampunan dari mereka yang mengenali Datin Suziana.

“Mohon dimaafkan salah dan silap sekiranya ada berhutang mohon dihalalkan atau tuntutlah hutang daripada saya,” luahnya.

Baca juga: Konon nak marah sebab penghantar tak mahu naik atas, sekali kena perli pemalas dengan netizen