Semua pihak diajak berganding bahu bagi memerangi ancaman doktrin kumpulan pengganas khasnya di kalangan anak muda ekoran serangan di Istanbul dan Jakarta.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini merengkok dalam penjara Sungai Buluh dalam satu kenyataannya berkata, ancaman terhadap dunia adalah sama, iaitu anak mudanya sedang didoktrin untuk bersama terjerumus ke dalam ideologi ekstrem yang bertentangan dengan aspirasi yang cintakan keamanan dan demokrasi.
“Kita harus berganding bahu dalam menangani ancaman kumpulan pengganas ini bersama rangkaian mereka di seluruh dunia dan Asia Tenggara.
“Dalam masa yang sama juga, kita harus bersama dalam memerangi ideologi dan kepimpinan yang dipengaruhi ideologi yang ganas dan totalitarian.
“Indonesia dan Malaysia harus bersama menjadi harapan kepada keamanan, kesejahteraan dan demokrasi di dunia Islam,” kata Anwar yang berada di Mahkamah Syariah semalam untuk menghadiri perbicaraan.
Katanya, hanya selepas dua hari serangan di Istanbul, ISIS kembali mengganas dengan membuka medan teror baru di sebuah rantau di mana penduduk Muslimnya hidup dengan aman bersama kumpulan-kumpulan masyarakat yang lain selama berabad-abad lamanya.
Serangan terhadap negara penduduk Muslim paling ramai ini adalah juga serangan terhadap benua Asia Tenggara, kata Anwar dalam kenyataan itu.
“Saya lahirkan ucapan takziah yang tidak terhingga kepada keluarga mangsa korban. Salut saya kepada tindakan pantas otoritas dan pasukan keselamatan.
“Saya ingin menyampaikan kekaguman saya terhadap warga Jakarta bawahan yang sedang menunjukkan kepada dunia bagaimana mereka menanggapi teror. Mereka bangkit menyuarakannya di media sosial bahawa mereka enggan tunduk kepada ketakutan, #tidaktakut dan mencela terorisme dengan sehina-hinanya,”katanya.
Bagi beliau, Indonesia dan Malaysia telah berbagi sejarah, lama sebelum sempadan yang terbina tentang kedamaian dan praktek Islam dalam masyarakat madani.
“Ancaman terhadap kita adalah sama, iaitu anak mudanya sedang didoktrin untuk bersama terjerumus ke dalam ideologi ekstrem yang bertentangan dengan aspirasi kita yang cintakan keamanan dan demokrasi,”katanya.
Marilah kita sampaikan doa untuk mangsa korban teror di Jakarta dan di mana jua. Semoga kita tidak gentar dan membenci, katanya.
“Saya amat yakin Indonesia akan segera sembuh dari serangan ini dengan semangat yang lebih kuat, bersatu dan terus beriltizam untuk menjadi harapan kepada demokrasi dan keamanan yang menjadi legasi spiritual kita bersama,” katanya.