Senator anggap sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan sukar dicapai

Oleh ARIF ATAN

Senator Datuk Jefridin Atan berpendapat sasaran melonjakkan purata pendapatan isi rumah kepada sekitar RM10,000 sebulan pada 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dilihat sukar dicapai berdasarkan situasi pertumbuhan ekonomi negara yang perlahan.

Menurutnya, kesan pandemik COVID-19 menyebabkan sasaran dalam tempoh kurang lima tahun itu kurang realistik susulan peningkatan jumlah pengangguran dan golongan miskin di negara ini.

“Kita lihat hasrat kerajaan meningkatkan purata pendapatan isi rumah kepada RM10,000 sebulan dalam RMK-12. Kerajaan hanya ada kira-kira empat tahun untuk realisasikannya.

“Sasaran ini memang nampak menarik, tapi kurang realistik kerana kerajaan alami pertumbuhan ekonomi perlahan, kadar pengangguran yang masih tinggi dan kadar kemiskinan meningkat akibat pandemik,” katanya ketika membahaskan RMK-12 di Dewan Negara, hari ini.

Sehubungan itu, senator Umno tersebut berharap Jabatan Perdana Menteri (JPM) meneliti semula sasaran tersebut dan membuat penilaian semula supaya ia lebih realistik.