Seniwati Mariani atau Mariam Ismail menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 7.32 malam tadi di kediaman keluarganya di Lorong Sentul Jaya 3,Sentul, Kuala Lumpur.
Berita mengejutkan itu telah disampaikan ke pengetahuan umum oleh anaknya sendiri iaitu Melissa Saila melalui akaun media sosialnya.
“Bismillahirohmanirahim.Ibu saya Mariam @Mariani Bt. Ismail baru menghembuskan nafas terakhir beliau pada 7.32 mlm.Jenazah di 12A,Lorong Sentul Jaya 3,Taman Kosmo Jaya Sentul.Rancangan pengkebumian akan diupdate kelak.” ujarnya.
Allahyarhamah yang berusia 82 tahun merupakan kakak kepada biduanita negara Puan Sri Saloma Ismail.
Sebelum ini, Mariani pernah beberapa kali dirawat di pusat perubatan kerana mengalami kemerosotan kesihatan kerana usianya.
Pada 2011 pernah tersebar khabar angin di twitter, kononnya beliau telah meninggal dunia gara-gara maklumat pihak tidak bertanggungjawab itu.
Mariani dilahirkan pada 20 April 1933 di Tanjung Pagar, Singapura, pernah berkahwin sebanyak tiga kali.
Bersama suami pertamanya iaitu Darus, Mariani telah dikurniakan dua anak iaitu Noraini dan Normala. Manakala dengan suami kedua iaitu H. M. Rohaizad, mereka mendapat enam anak iaitu Sharifah Haslinda, Sharifah Rozita, Syed Herwaini, Syed Marhain, Syed Nazran dan Syed Hasnidan.
Bersama suami ketiganya, Alias, Mariani memperoleh lima orang anak iaitu Iskandar Mierza, Shahruniza, Ariff Efandi, Kamarul Ariffin dan Melissa.