Masih ada kedai yang sesuka hati meletakkan syarat tidak masuk akal sebelum membenarkan pelanggan membeli minyak masak peket bersubsidi.
Ini adalah tidak dibenarkan sama sekali malah pembeli boleh membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
KPDN Kedah menyita kira-kira 2,006 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi 1kg dari sebuah kedai runcit di Lunas lapor Sinar Harian.
Ini adalah selepas mereka mendapat aduan bahawa kedai tersebut mengenakan syarat pembelian barang keperluan sebelum membeli minyak masak peket.
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin memaklumkan pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Kulim telah melakukan uji beli melalui Ops Sabur di premis terbabit.
Dalam uji beli yang dijalankan, seorang wanita yang bekerja sebagai juruwang didapati mengenakan syarat pembelian.
Syaratnya adalah pelanggan perlu membeli barangan lain bernilai RM15 untuk berpeluang membeli dua peket minyak masak bersubsidi 1kg.
“Susulan itu, sepasukan pegawai penguat kuasa yang terdiri daripada lima orang telah memasuki premis tersebut untuk melakukan pemeriksaan lanjut pada jam 10.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut mempunyai lesen menjual barang kawalan seperti gula, minyak masak, dan tepung gandum (GMT),” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, pemeriksaaan mendapati sebanyak 2,006kg minyak masak peket 1kg bersubsidi berada dalam simpanan di stor premis berkenaan.
“Susulan itu, pasukan serbuan telah menyita minyak masak tersebut dianggarkan bernilai RM5,015 untuk siasatan lanjut daripada pemilik premis berusia 39 tahun,” katanya.
Muhammad Nizam memaklumkan, kes ini disiasat di bawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].
Tegas beliau, tindakan tegas akan diambil oleh pigak KPDN terhadap mana-mana pihak yang mengenakan syarat, menyembunyikan, atau enggan menjual minyak masak peket 1kg bersubsidi.
Baca juga: Kanak-kanak jatuh tersungkur akibat dipukul, muka berdarah terhantuk bucu bangku