Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyedari terdapat desakan dalam kalangan rakyat yang mahukan pengeluaran KWSP dibenarkan oleh kerajaan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau agak keberatan untuk mendukung langkah pengeluaran caruman itu seperti yang pernah ditegaskan di Dewan Rakyat tahun lalu kerana ia pasti memberi kesan kepada simpanan mereka di masa hadapan meskipun tahu pendirian itu sangat tidak popular di kalangan rakyat.
“Saya turut meletakkan syarat kepada kerajaan saat itu untuk menampung kerugian yang dialami rakyat akibat banjir sekiranya kerajaan enggan untuk membenarkan pengeluaran KWSP.
“Namun, setelah berbulan berlalu, nampaknya kerajaan dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul tidak mempedulikan desakan ini. Bilangan rakyat yang mengeluh kepada saya terus meningkat.

“Dan saya terus mendengar keluhan di kalangan rakyat yang hari ini berada dalam keadaan yang amat terdesak dan menekan, terutamanya dalam jelajah saya di seluruh Johor yang sedang berlangsung,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook semalam.
Sehubungan itu, Anwar berkata, beliau pada masa ini mendukung agar pengeluaran KWSP dibenarkan sesegera mungkin tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi selepas melihat kerajaan seolah-olah tiada jalan untuk merungkai kegagalan tersebut.
Dalam masa sama, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan kerajaan juga mesti mengambil kira nasib golongan rakyat yang tidak mencarum.