“Setiap hari saya berdoa agar Allah jadikan saya muslimah sejati” – Angeline Tan

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan senang untuk kekal istiqamah dalam mentup aurat atau melakukan perkara baik dan meninggalkan hal buruk.

Ditambah pula zaman kini godaan itu lebih, yang bertudung juga terlalu taksub dengan media sosial hingga terlupa menjaga perilaku.

Buat pelakon Angeline Tan yang baru memeluk Islam pada September tahun lalu memaklumkan ada banyak perkara perlu dipelajari lapor Kosmo! Online.

“Setiap hari saya berdoa agar Allah jadikan saya muslimah sejati.

“Saya bukan sahaja ingin menjadi seorang isteri yang baik, tetapi juga mengharapkan agar istiqamah dalam mempelajari ilmu agama dan bertudung.

“Pernah juga saya ada bercakap dengan suami (Sabri Yunus), pakai tudung ini buat saya rasa panas.

“Tetapi, sebenarnya itu semua hanya untuk bermanja-manja saja,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Angeline atau nama Islamnya Ardini Angeline Tan, mengakui ada menerima beberapa pertanyaan mengenai Islam daripada rakan-rakannya.

“Setelah memeluk Islam pada September tahun lalu, ada beberapa rakan agama lain bertanyakan tentang Islam.

“Mereka ingin tahu gaya hidup masyarakat beragama Islam. Bagi saya, perkongsian ilmu baik untuk masyarakat apatah lagi kita hidup dalam kalangan berbilang bangsa.

“Apabila saling memahami perbezaan, kita akan lebih menghormati dan menyayangi antara satu sama lain,” terangnya.

Terasa lebih bahagia

Pada masa sama dia mengakui meskipun sudah berkawan lebih 30 tahun dengan suaminya, itu bukanlah bermakna dia benar-benar mengenali lelaki tersebut.

“Kami sudah berkawan baik terlalu lama dan pada masa sama kita ini juga suami isteri. Jadi, kadangkala kita ini seperti kawan apabila di rumah.

“Sejujurnya kehidupan saya kini berasa lebih tenang, bahagia dan seronok. Saya juga masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.

“Bagi saya abang (panggilan buat Sabri) umpama buku yang saya masih perlu baca.

“Setiap hari satu muka surat baharu, setiap hari ada perkara baharu yang saya pelajari,” tambahnya.

Baca juga: Berang anak dihina berpakaian seperti pelacur, Che Ta buru individu ini sampai ke lubang cacing