Shahidan cadang adakan wacana ilmu ganti debat Zamihan-Mohd Asri

Oleh MALAYSIADATELINE

Datuk Seri Shahidan KassimMenteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan satu wacana ilmu diadakan melibatkan Mufti Perlis DatukDr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin.

Cadangan ini ekoran ajakan debat yang dikemukan Zamihan kepada Mohd Asri kepada Mufti Perlis pada Selasa lalu.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau mencadangkan wacana itu diadakan pada 10 Februari ini jam 9 malam dengan menjemput pihak Astro Awani
atau TV Al Hijrah sebagai moderator manakala tempat akan ditentukan kemudian.

“Pihak berwajib setuju dengan wacana dan bukan debat. Datuk Dr Asri setuju. Ustaz (Zamihan) dalam FB beliau juga bersetuju berdebat 24 jam,”
katanya.

Zamihan pada Selasa lalu berkata, beliau bersedia 24 jam untuk berdebat secara ilmiah dengan Mohd Asri atas apa-apa topik sekalipun
jika Mohd Asri terus mengaitkan dirinya dengan elemen pro syiah, ekstemis takfir dan sesat.

Zamihan turut menyebut mengenai kenyataan Mohd Asri yang mendakwa beliau mempengaruhi Majlis Agama Islam Johor (Maij) bagi menghalangnya berceramah di negeri itu adalah dakwaan yang tidak benar sama sekali.

Mohd Asri dan 15 penceramah lain didakwa tidak sealiran dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan dilarang berceramah atau mengajar agama Islam di Johor berkuat kuasa 31 Disember lepas.

Mohd Asri berkata beliau percaya tuduhan itu dibuat berdasarkan dakwaan Zamihan dalam satu video yang diedarkan dalam talian.

Shahidan berkata, pihaknya akan menghubungi Zamihan hari Ini dan akan menjemput 500 orang dalam kalangan anggota kerajaan dan ilmuan.

“Pegawai-pegawai saya akan hubungi Ustaz Zamihan pada esok hari (hari ini) .Maka saya jemput Ustaz Zamihan sebagai lelaki mulia presiden Aswaja untuk menerimanya. Jangan hina saya berlebihan. Lelaki yang mulia mesti bersemuka,” katanya.

Justeru beliau menyeru semua pihak berhenti daripada mengeluarkan pandangan bahawa ekstremisme hanya berlaku dalam Islam atau mazhab tertentu dalam Islam.

“Islam adalah agama yang suci yang berlandaskan kesederhanaan dan kasih sayang kesederhanaan dalam Islam,” katanya.

Shahidan dikenali sebagai sahabat baik Mohd Asri sejak sekian lama merentasi sempadan politik.