Pelakon sensasi, Shakilla Khoriri meluahkan rasa tidak puas hati apabila melihat foto perkahwinan terbaharu melibatkan bekas suaminya, Fizi Ali.
Menurut Shakilla, seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anak kepada isteri baharu Fizi telah bertindak menekup mulut anaknya di dalam gambar tersebut.
Lebih memburukkan keadaan, Fizi yang juga penyampai radio tempatan itu enggan memberikan sebarang maklum balas mengenai foto tersebut ketika ditanya Shakilla.
Bekas suaminya iaitu pemilik nama sebenar Mohd Hafizudin Alimudin mengumumkan perkahwinan baharunya dengan pilihan hati, Siti Zulaikha pada Isnin lalu, lapor Mstar.
“Ini adalah benda-benda yang saya tak suka tengok. Sekeping foto yang dimuat naik memperlihatkan anak perempuan (isteri Fizi) menekup mulut anak saya.
“Sebagai seorang ibu saya tak senang tengok perkara itu malah ada bertanya kepada Fizi tapi dia masih belum balas,” katanya memetik laporan mStar.
Selepas dua tahun menduda, Fizi melangsungkan pernikahan bersama pasangannya di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Selangor yang dihadiri oleh keluarga terdekat.
Langsung tidak dimaklumkan, pelakon berusia 34 tahun itu turut mengakui dirinya merasa terkejut apabila menerima berita perkahwinan terbaharu bekas suaminya.
Hal ini kerana, Shakilla baharu sahaja bertemu dengan Fizi ketika bekas suaminya itu mahu mengambil anak mereka, Ameena, kononnya untuk dibawa ke taman tema air.
Rupa-rupanya mengambil anak untuk menghadiri majlis pernikahannya, Shakilla berpendapat bahawa bekas suaminya itu seharusnya berterus terang sahaja.
Walau bagaimanapun, pelakon berkenaan tetap mendoakan kebahagiaan Fizi dan isteri baharunya namun berharap mereka tidak akan menyakiti perasaan anaknya.
“Saya tiada isu dia berkahwin cuma saya tidak tahu mahu cakap apa apabila orang bertanya. Saya harap sepanjang Ameena bersama Fizi dan keluarga baru, jangan sakiti anak saya.
“Jangan buat dia terasing sebab Ameena bila balik akan bercerita. Kalau dia gembirakan anak, saya okay tapi kalau dia disakiti, dia perlu berdepan dengan saya.” Tegasnya.
Untuk rekod, Shakilla dan Fizi yang berusia 34 itu mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018 sebelum membuat keputusan untuk bercerai pada Disember 2021 lalu.
Hasil perkongsian hidup selama tiga tahun, pasangan berkenaan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Ameena Sofia yang kini berusia empat tahun.