Shila Amzah tak sangka diserang artis lagenda di depan ‘kru’, laporan polis sudah dibuat

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi terkenal, Shila Amzah mendakwa telah diserang oleh seorang artis bertaraf lagenda dalam satu sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 Mr D.I.Y yang dijadualkan bakal berlangsung pada Jumaat ini di Stadium Merdeka.

Kejadian itu didedahkan oleh Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah menerusi satu hantaran dimuat naik di Instastory bersama rakaman sesi latihan sebelum dirinya diserang oleh indvidu terbabit.

Penyanyi berusia 35 tahun terbabit turut meluahkan rasa terkejut ekoran tidak menyangka artis legenda berkenaan boleh bertindak sedemikian di khalayak ramai terutama mereka yang bertugas dalam penganjuran konsert.

Shila juga mendakwa bahawa tindakan individu terbabit turut memberi kesan kepada emosi ekoran menimbulkan perasaan cemas (anxiety) dalam dirinya selain bimbang akan keselamatannya.

“Gila apabila seseorang yang dipanggil legenda boleh menyerang saya di hadapan semua pekerja di khalayak ramai. Nasib baik anda sudah berumur. Tetapi anda telah mencetuskan anxiety terhadap keselamatan saya,” katanya dalam hantaran itu.

Dalam pada itu, pembantu peribadi Shila iaitu Aini Shuhaidah turut berkongsi kekesalannya terhadap sikap ditonjolkan oleh artis legenda terbabit yang menurutnya tidak profesional.

Aini dalam hantaran di Instastory itu turut memaklumkan bahawa pihaknya berada dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Perkongsian dimuat naik oleh Shila dan pembantu peribadinya di platform Instagram.

“Bagaimana individu yang memiliki banyak pengalaman sepertinya boleh bertindak secara tidak profesional. Satu laporan polis dan perintah larangan terhadap individu terbabit sedang berada dalam proses.” Kongsi Aini.

Setakat ini, identiti artis lagenda yang dimaksudkan masih tidak dapat dikenal pasti malah sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian itu juga belum dikeluarkan termasuk dari pihak penganjur konsert.

Sekadar info, antara penyanyi terlibat yang akan membuat persembahan dalam konsert tersebut adalah Datuk Amy Search, Datuk Awie, Ella Aminuddin, Jaclyn Victor, Penny Tai, Jeryl Lee dan 3P.

Baca juga: Tak goyah dengan duit! Shila Amzah dedah tolak tawaran duta bernilai 10 juta sebab disuruh buka tudung