Penyanyi terkenal, Shila Amzah menyifatkan bayaran persembahan yang diterima sama ada dalam Dolar atau Ringgit sebagai rezeki buat anak-anak dan keluarga.
Jelasnya, bayaran dibuat biasanya mengikut mata wang sesebuah negara dan dia tidak meletakkan syarat khusus mengenainya lapor Harian Metro.
Menurut Shila bagi persembahan di tanah air, dia masih menerima bayaran dalam Ringgit dan menerimanya dengan terbuka.
Paling penting bayaran adalah berbaloi dengan usaha serta komitmen yang diberikan setiap kali berada di atas pentas.
“Daripada segi bayaran untuk ‘show’ saya, sama ada mahal atau tidak terpulang kepada individu yang menilainya dan saya tahu nilai saya. Cuma, bergantung juga kepada hak masing-masing.
“Apa-apa pun, untuk itu (kadar bayaran diterima) saya hanya mampu ucap Alhamdulillah. Semua ini adalah rezeki dan saya juga percaya dengan usaha keras dilakukan pasti berjaya serta tidak pernah mengkhianati hasil.
“Jadi, sama ada bayaran saya dalam Dolar atau mata wang lain, ia sebenarnya mengikut mata wang di sesebuah negara itu.
“Tetapi, kalau di Malaysia saya masih terima bayaran daripada penganjur dalam Ringgit,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Pada masa sama, Shila akui gembira melihat respon peminat yang berkongsi video persembahannya di luar negara.
“Saya sebenarnya seronok juga apabila melihat ramai netizen di media sosial berkongsi semula video persembahan saya di luar negara seperti di China yang menyuntik semangat saya untuk terus berkarya.
“Selain itu, saya juga melihat positif berkaitan bakat saya yang dihargai di China atau di mana-mana sahaja (negara) tanpa sebarang isu.
“Ini kerana, penerimaan peminat di suatu tempat itu berbeza,” katanya.
Buat Shila apa yang paling penting baginya bukan sekadar bayaran, tetapi memastikan setiap penonton yang hadir benar-benar terhibur dan menghargai usaha yang dicurahkannya di atas pentas.
Baca juga: Muntazar akhirnya dedah punca duit tinggal RM500 dalam bank, kewangan terjejas