Satu rakaman memaparkan seorang lelaki berusia sedang membelai beberapa ekor kucing sekitarnya di sebuah kafe telah berjaya menarik perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya, kisah di sebalik rakaman tersebut berhasil menyentuh hati orang ramai terutamanya pecinta kucing yang pernah mengalami kehilangan akibat ditinggalkan haiwan peliharaan mereka buat selamanya.
Berdasarkan rakaman dimuat naik di platform TikTok itu, kesemua kucing peliharaan milik lelaki digelarkan pak cik terbabit sebenarnya sudah meninggal dunia akibat dimakan oleh ular.
Pak cik berkenaan kemudian meminta izin kepada pihak kafe kucing untuk masuk tanpa membuat pesanan agar dapat bermain bersama si bulus dipercayai untuk mengubati rindunya terhadap haiwan peliharaannya.
Selepas mendengar cerita tersebut, pemilik kafe kucing itu kemudian dengan rela hati membenarkannya masuk untuk meluangkan sedikit masa bersama haiwan comel berkenaan tanpa dikenakan sebarang bayaran.
“Pak cik itu tanya, ‘Dik boleh tak nak masuk main dengan kucing dekat dalam. Kucing pak cik semua sudah mati, kena makan ular’. Banyak pak cik ini bercerita mengenai kucing-kucing dia.
“Pak cik ini juga tunjuk gambar ular yang makan kucing itu. Dia datang-datang, terus cakap nak masuk untuk main dengan kucing. Pak cik tak nak makan. Nak usap kucing sahaja, boleh ke dia tanya,” kongsi pengendali akaun TikTok kafe kucing itu.
Difahamkan meskipun dibenar masuk secara percuma, pak cik terbabit tetap memesan dan membayar minuman Kopi ‘O’ daripada kafe kucing tersebut mungkin sebagai tanda terima kasih.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut telah meraih sebanyak 706,900 tontonan daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya merasa sebak melihat kelakuan pak cik terbabit.
Mereka dapat merasai perasaan dialami pencinta kucing apabila ditinggalkan oleh haiwan peliharaan mereka buat selamanya selain mengucapkan terima kasih kepada pemilik kafe kerana membenarkan pak cik itu masuk secara percuma.
“Terima kasih kepada pemilik kafe sebab benarkan pak cik itu main dengan kucing. Saya yang tengok pun rasa sedih sebab semua kucing pergi dekat pak cik itu. Tambah-tambah yang duduk atas riba itu,” kata seorang pengguna.
“Terima kasih kepada pemilik sebab memberikan izin. Nak menangis tengok pak cik itu. Semoga dimurahkan rezeki selalu.” Kongsi pengguna lain yang turut terharu dengan tindakan pemilik kafe kucing itu.
Baca juga: Penutupan ‘lubang tikus’ beri kesan, kes dadah di Kelantan turun 5.4 peratus