Siap bawa burger ‘kahwin’ atas pentas, wanita OKU teruja dijemput Cakra Khan

Oleh MAISARAH AISYA

Tular di media sosial mengenai kegigihan seorang wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) bernama Eerah yang menjual burger sebagai sumber pendapatan.

Kisahnya itu memberi kesan mendalam kepada penyanyi Indonesia, Cakra Khan yang baginya banyak mengajar erti hidup.

Menurut Kosmo, Cakra tersentuh melihat kegigihan Eerah yang tetap berusaha walaupun dalam keadaan serba kekurangan tanpa mengeluh.

“Banyak yang saya belajar selepas melihat Eerah seperti harus selalu bersyukur dan percaya sentiasa ada harapan dalam setiap perkara.

“Dia contoh terbaik untuk kita semua ikut terutama berkaitan kesungguhannya mencari rezeki dan tidak pernah berputus asa dalam kehidupan,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Tolak jemputan dengan alasan sibuk berniaga

Pada mulanya Cakra menghantar jemputan ke konsert A Decade Cakra Khan 2.0 Live in Kuala Lumpur namun ditolak Eerah atas alasan sibuk berniaga.

“Saya pernah melihat videonya tular dalam media sosial tahun lalu sebelum menghantar jemputan untuk ke konsert hari ini (semalam) tetapi ditolak atas alasan sibuk berniaga.

“Tiba-tiba ada kejutan, dia muncul di pentas dengan membawa burger. Memang terharu dan rasa sangat tersentuh melihat kesungguhannya,” ujarnya.

Siap bawa burger atas pentas

Namun wanita berusia 29 tahun itu membuat kejutan dengan hadir ke konsert sambil bawa burger ‘kahwin’ (daging dan ayam) istimewa buat Cakra.

Cakra tanpa membuang masa turut merasai makanan tersebut selain mendendangkan lagu Jangan Mudah Putus Asa.

Di konsertnya, Cakra mendendangkan sebanyak 25 buah lagu termasuk duet bersama Datuk Seri Rossa, Judika dan Dayang Nurfaizah.

Baca juga: Selalu ‘update’ video gembira di media sosial, Adira akui tak mahu jejas emosi anak dengan kesedihan