“Siapa hantar lampin berkulat ini?” – Khairul Aming kecewa pemberi bantuan banjir bersikap ambil mudah

Oleh WAN SITI AMINAH

Pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming meluahkan kekesalan terhadap segelintir pemberi bantuan barangan banjir yang bersikap ambil mudah dalam menghulurkan sumbangan.

Mana tidaknya, ada di antara mereka tergamak memberi barangan keperluan yang tidak selamat digunakan oleh mangsa banjir seperti makanan tamat tempoh, lampin pakai buang berkulat untuk bayi dan sebagainya.

Oleh yang demikian, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman ketika tampil dalam satu siaran langsung memberikan amaran keras untuk pemberi bantuan agar lebih berhati-hati dalam pemilihan barang.

Ahli perniagaan berusia 32 tahun itu juga mengharamkan lokasi pengumpulan barang-barang bantuan banjir yang dikelolanya dijadikan sebagai tempat pelupusan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Allah, siapalah yang hantar lampin berkulat ini? Tolonglah jangan . Baiklah, satu perkara yang saya nak pesan adalah jangan jadikan lokasi pengumpulan sumbangan ini sebagai tempat pelupusan barang.

“Aku memang haramkan benda itu ya. Jadi, jangan hantar lampin yang berkulat dan makanan sudah tamat tempoh. Tadi pun kami ada terima sumbangan baju yang sudah berlubang (koyak).

“Contoh kalau lampin yang berkulat itu, budak-budak nak pakai. Jangan hantar yang macam itu ya, ada kuman dan bakteria. Jangan berikan barangan yang tak elok untuk digunakan,” katanya dalam perkongsian itu.

Khairul Aming memberikan peringatan kepada pemberi bantuan dalam satu sesi siaran langsung di akaun TikTok miliknya yang sempat dirakam sebelum dimuat naik semula oleh pengguna platform berkenaan.

Jelas Khairul Aming, mangsa banjir sememangnya berada dalam keadaan darurat namun sebagai pemberi bantuan, kita seharusnya berusaha sehabis baik untuk memastikan keselesaan mereka di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Faham, mereka berada dalam keadaan darurat tetapi kita perlu mencuba memberikan yang terbaik terlebih dahulu. Selagi mana boleh. Kalau betul-betul sudah tiada barang, bolehlah. Tetapi sekarang berikanlah barang yang terbaik.

“Untuk makluman, kami akan memeriksa setiap barangan yang disumbangkan. Bukan ambil dan terus hantarkan ke PPS. Jangan ya hantar baju yang berlubang, tak boleh pakai atau berbau.

“Kepada peniaga juga. Jangan jadikan tempat ini sebagai lokasi untuk melupuskan barangan jualan yang tidak terjual ya. Saya mohon sangat-sangat. Walaupun mereka mangsa banjir, tetapi kita tetap kena jaga kualiti.” Tegasnya.

Baca juga: Rumah ini je tak masuk air, warganet puji tuan rumah kreatif guna tanah liat halang banjir masuk