Siapa kata hutang tidak kena-mengena dengan cukai?

Oleh ARIF ATAN

Bagus jika kita faham kerajaan pungut cukai daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). KDNK ini ialah kek ekonomi sesebuah negara dalam satu masa tertentu. Semakin banyak diambil kerajaan, semakin kecil bahagian untuk selain kerajaan.

Harap kita selalu ingat rakyat Malaysia ada sekitar 32 juta orang. Sekarang, nampak kenapa gaji rakyat Malaysia umumnya rendah? Ya, kerana sumber produktif dialih.

Kerangka ekonomi liberal tidak bercakap tentang naik cukai untuk tidak perlu berhutang. Kerangka ekonomi liberal bercakap tentang perbelanjaan berhemah untuk elak berhutang. Hentikan projek tidak perlu, ketirisan dan penyelewengan.

Ini kerana ekonomi liberal percaya kerajaan tidak tahu segalanya. Jika kerajaan berbelanja berhemah, kita tidak ada keperluan untuk mencukai lebih. Jangan lupa bahawa antara item belanja mengurus ialah bayaran khidmat hutang.

Dalam kata yang lain – kita mencukai untuk bayar hutang juga. Menteri Kewangan dalam jawapan di Parlimen kata jumlah yang kita bayar sekarang dah mencecah 18 peratus.

Maksudnya, setiap RM1 kita cukai, 18 sen kena guna untuk bayar hutang. Jadi, siapa kata hutang tidak kena-mengena dengan cukai? Itu pandangan yang tidak bersandarkan realiti. Sekali lagi teori yang terpinggir.

Limpahan ekonomi yang dibayangkan daripada perbelanjaan kerajaan yang tidak terkawal telah menghasilkan Greece dan Venezuela sebagai contoh. Bukan semua urusan yang membentuk KDNK itu adalah urusan kerajaan.

Jika mahu menganggap logik kerajaan berbelanja lebih akan meningkatkan ekonomi itu betul sekalipun, ia bukan selama-lamanya begitu. Dan paling penting, ia bukan bermaksud pandangan lain salah.

Seperti yang pernah saya katakan, jika hari ini saya ada RM1 bilion daripada pinjaman bank, orang akan kata saya bilionaire. Saya akan dianggap kaya dan mampu bayar caj bank dari semasa ke semasa.

Namun, jika saya tidak menggandakan kekayaan saya dari semasa ke semasa, lambat laun duit itu akan habis dan bank akan cari saya. Ini perkara yang lebih logik. Kita memang boleh berhutang untuk perkara perlu, tetapi bukan semata-mata kerana suka berbelanja.

Inflasi sebagai ukuran kuasa beli rakyat mungkin betul, tetapi ia tidak semestinya hanya tentang kuasa beli rakyat. Ia juga mungkin penentu tahap produktiviti dan kecekapan sistem.

Hakikatnya, majoriti besar rakyat berpendapatan rendah dan mengalami kenaikan gaji yang lebih perlahan berbanding inflasi. Maka inflasi dalam hal ini tidak semestinya menunjukkan peningkatan kuasa beli.

Jadual ini pun saya sediakan untuk melihat corak hasil dan hutang kita berbanding KDNK.

*AMIN AHMAD merupakan Ahli Parlimen Kangar dari PKR yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Perlis.