Umno sedang melobi pemimpin Bersatu agar menyerahkan jawatan perdana menteri kepada mereka. Jika ini boleh berlaku, kerajaan Perikatan Nasional boleh diselamatkan, kata Umno. Tan Sri Mahiaddin Md Yassin juga dikatakan telah bersetuju dengan formula ini untuk menyelamatkan kerajaan PN yang menjadi legasi beliau.
Namun siapa yang untung dan siapa yang rugi jika ini berlaku. Ini adalah analisis Malaysia Dateline mengenainya.
PIHAK YANG UNTUNG
1. Umno
Umno dan Barisan Nasional (BN) telah tewas dalam pilihan raya umum ke 14 selepas sekian lama memerintah negara. Umno jatuh selepas terpalit dengan skandal 1MDB yang telah disahkan salah satu kesnya di Mahkamah Tinggi.
2. Najib dan Zahid
Pihak yang untung juga adalah pemimpin Umno yang terpalit dengan skandal dan digelar sebagai kleptokrat. Ramai pemimpin mereka telah didakwa di mahkamah dan sedang dibicarakan. Dengan perdana menteri dari kalangan Umno, dengan mudah kes mereka diketepikan nanti. Oleh itu usaha rakyat untuk membersihkan negara ini hancur sepenuhnya.
3. Taukeh- taukeh besar di belakang Umno
Ramai taukeh-taukeh besar yang hidup dengan dipelihara oleh Umno sejak sekian lama. Mereka telah mengawal apa sahaja di negara dari kampung sehinggalah ke Putrajaya. Dengan Umno sebagai PM, mereka akan hidup kembali.
4. Hamzah Zainudin dan Faizal Azumu
Hamzah disebut-sebut bakal dilantik untuk menjadi timbalan perdana menteri. Faizal pula akan dilantik sebagai menteri kanan.
5. Pas
Pas akan bergabung dengan Umno sebagaimana kehendak sebahagian pemimpinnnya sebelum ini. Sebelum ini mereka bersama dengan Bersatu kerana PM dari Bersatu. Jika Umno menjadi PM, Pas akan rapat dengan Umno pula.
PIHAK YANG RUGI
1. Parti Bersatu
Pihak yang paling besar akan rugi adalah Bersatu. Ini kerana Bersatu ditubuhkan untuk menggantikan Umno dalam masyarakat. Jika PM adalah Umno, nasib Bersatu sudah pasti kelam sekelamnya. Mungkin beberapa pemimpin Bersatu akan mendapat kedudukan dalam negosiasi awal untuk membentuk semula kerajaan antara mereka tetapi akhirnya Bersatu yang akan terpinggir dan bakal berkubur.
2. Kumpulan Azmin Ali
Azmin naik ke tempat yang ada apabila bekerjasama dengan Mahiaddin. Setelah Mahiaddin meletakkan jawatan, Azmin tidak lagi diperlukan. Lagipun, Azmin adalah pihak yang paling dibenci oleh ramai pemimpin Umno sebelum ini. Oleh itu, Azmin bersama 9 lagi penyokongnya dalam kerajaan yang ada tidak mempunyai masa depan yang cerah dalam politik.
3. Pakatan Harapan
PH akan kekal sebagai pembangkang. Pemimpinnya akan kekal sebagai pemimpin parti pembangkang walaupun mendapat mandat rakyat dalam PRU-14 lalu.
4. Tun Dr Mahathir
Apabila PM dari Umno, masa depan Dr Mahathir sudah tidak ada lagi dalam politik. Ini kerana, Mahathir menjadi musuh utama Umno yang menjatuhkan parti itu dalam PRU-14 lalu.
5. Warisan, lain-lain parti dan rakyat
Warisan dan lain-lain tidak akan ada tempat dalam kerajaan yang dipimpin oleh Umno. Di Sabah Umno akan semakin kuat dan akan menekan Warisan.