
Ura-ura Pas Selangor membuat persediaan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan RayaKecil (PRK) Parlimen Pandan adalah satu usaha yang seharusnya diteruskan sehingga pilihan raya umum ke 15 yang akan datang, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, dakwaan mengenai kerusi Parlimen Pandan akan dikosongkan untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak benar sama sekali.
“Pas Selangor boleh membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya kecil yang akan diadakan.
“Walau bagaimana pun ia tidak akan berlaku di Pandan.
“Pas seharusnya bersiap sedia bagi menghadapi bukan saja pilihan raya kecil tersebut, tetapi juga pilihan raya umum nanti, ” ujarnya.
Beliau diminta mengulas mengenai tersebar kenyataan dibuat oleh Yang Dipertua Pas Kawasan Pandan Datuk Iskandar Abdul Samad yang dikatakan, telah mengarahkan jentera pilihan raya Pas kawasan Pandan disemua peringkat bersiap sedia untuk kemungkinan Pilihan Raya Kecil P100 Pandan diadakan dalam waktu terdekat.
Saifuddin turut berkata, seperti kenyataannya semalam, pengumuman kerusi Parlimen yang akan ditandandi Anwar itu akan diadakan esok di Kuala Lumpur sejurus Anwar pulang dari Hong Kong.
Beliau ditemui media selepas melawat kawasan tanah runtuh yang meragut dua nyawa pelajar berusia 17 dari sekolah Menengah Kebangsaan Serdang Baru yang meninggal dunia akibat tertimbus dalam runtuhan sedalam 0.3 meter dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di Serdang Kulim Bandar Bharu malam tadi.