Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) membidas kumpulan G25 yang didakwa cuba mempolemikkan isu Islam apabila mempersoalkan kewujudan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, meluahkan rasa kesal dengan laporan kumpulan tersebut yang dianggapnya secara jelas mahu merungkai status Islam dan agensi-agensi yang berkaitan dengan Islam di negara ini.
Beliau turut menegaskan bahawa G25 kini sudah memasuki ruang perbahasan yang sensitif dan merbahaya yang boleh mencetuskan kekeliruan dan kemarahan umat Islam.
“Hatta dalam hal murtad sekalipun, G25 berhujuah bahawa ia urusan seseorang individu dan Tuhan semata-mata di mana agensi Islam tidak perlu masuk campur.
“Jelas, dengan hanya menggunakan hujah yang cetek dalam disiplin perundangan Islam dan bagaimana ia digunapakai oleh sesebuah negara berdasarkan dalil yang disepakati oleh jumhur ulama, G25 dengan mudah merumuskan bahawa kesalahan hukuman murtad perlu diketepikan.
“Kekeliruan dan debat yang dicetuskan secara terbuka ini, memperlihatkan usaha G25 yang sengaja menonjolkan seolah-olah kedudukan Islam dan bidangkuasa agensi Islam di Malaysia adalah tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengesa supaya G25 disiasat oleh pihak berkuasa untuk memastikan sama ada kumpulan itu melanggar peruntukan undang-undang yang ada apabila secara sengaja menyentuh mengenai kedudukan Islam dalam negara.
“G25 juga tidak berhak mempersoalkan kewujudan bidangkuasa dan peranan yang diberi kepada agensi seperti Jakim kerana ia terangkum dalam makna dan konsep Islam adalah agama persekutuan.
“Kami menegaskan pihak kerajaan perlu mempertahankan kedudukan Islam dan segala pembangunan Islam di negara ini.
“Pihak Majlis Raja-raja Melayu bukan sahaja berkuasa dalam melindungi dan membangunkan Islam diperingkat negeri malah juga diperingkat kebangsaan,” ujarnya.