Sibuk ubah suai rumah PM, sepatutnya kerajaan utamakan dahulu keperluan rakyat

Oleh KIM SYAZIE

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengkritik tindakan pemimpin kerajaan yang mengamalkan budaya pembaziran dalam keadaan rakyat memerlukan bantuan untuk terus hidup.

Beliau berkata, semua pihak tidak seharusnya berkompromi dengan pembaziran wang seperti pembinaan dewan dan mengubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri yang sama sekali bukan satu keperluan mendesak.

Dalam suasana ketika ini tegasnya, wang tersebut sepatutnya diutamakan kepada rakyat yang paling memerlukan bantuan kerana mereka tidak dapat bekerja dan sukar mencari pendapatan.

“Waktu kita berdepan dengan kemelut Covid-19, dia buat ‘renovation’ rumah. Apa teruk sangat ke bangunan yang baru dibuat beberapa tahun lalu.

“Orang duduk rumah 20, 30 tahun, macam tu je tak ada ubah suai pun boleh hidup. Sebab kau bangsawan, kau boleh buat apa sahaja. Ini tidak boleh berlaku. Ini pembaziran luar biasa.

“Ianya jika berterusan akan memberi kesan buruk kepada derita rakyat yang mengahrapkan pembelaan,” katanya dalam sesi Borak Dahsyat semalam.

Dalam pada itu katanya, beliau tidak nampak dalam masa 100 hari, kerajaan  Umno-Pas-PN yang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan membawa kesan baik kepada rakyat kerana berlakunya pembaziran demi pembaziran yang tidak wajar.