Sikap anggota polis bercanggah arahan KPN, kata penganjur #ShutdownJalanDuta

Oleh MALAYSIADATELINE

Arahan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya pihak penganjur himpunan rakyat mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 amat bercanggah dengan sikap dan tindakan yang diambil oleh anggotanya, kata Shazni Munir Mohd Ithnin.

Menurut pengerusi jawatankuasa itu, Khalid perlu memastikan pihak berkuasa polis terlebih dahulu sentiasa profesional dan adil dalam melaksanakan tugas selaras dengan Seksyen 19 Akta 344 (Akta Polis 1967 pindaan 2012).

Mengulas keengganan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menerima notis makluman berkenaan himpunan #ShutdownJalanDuta kononnya dihantar di luar waktu pejabat, Shazni berkata alasan itu langsung tidak boleh diterima pihak jawatankuasa memandangkan Fasal 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA) langsung tidak menyatakan bahawa pemakluman berkenaan himpunan perlu dilakukan dalam waktu pejabat.

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) itu, pihak IPD Brickfields meminta jawatankuasa tersebut menghantar surat berkenaan pada hari ini selepas cubaan kali pertama menghantar surat bagi protes kenaikan kos sara hidup itu pada pukul 6.30 petang semalam ditolak.

“Persoalannya, jika pihak jawatankuasa menghantar surat tersebut pada tarikh yang diminta, kami telah dilihat sengaja melanggar peruntukan bawah Fasal 9 (1) APA yang menetapkan makluman kepada pihak berkuasa mesti dihantar 10 hari sebelum tarikh berlangsungnya satu-satu himpunan,” tegasnya dalam satu kenyataan semalam.

Memandangkan anggota polis di IPD Brickfields masih berada di balai ketika surat makluman itu dihantar, beliau berkata, pihaknya menganggap anggota terlibat tidak mempunyai masalah untuk menerima surat makluman tersebut.

“Tindakan berdolak-dalih begini bukan sahaja menunjukkan ketidakseriusan pihak berkuasa untuk memberikan kerjasama, bahkan kami menganggap ianya sebagai tindakan yang mahu mempermainkan pihak jawatankuasa dan rakyat yang sedia marah dengan kenaikan tol yang akan menaikkan lagi kos sara hidup untuk tahun hadapan,” jelas Shazni lagi.

Mengikut Fasal 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, pihak penganjur hendaklah memberi notis kepada polis untuk mengadakan perhimpunan dalam tempoh 10 hari.

#ShutdownJalanDuta yang terdiri daripada gabungan reformis, mahasiswa dan aktivis anak muda merancang untuk berhimpun di perkarangan Plaza Tol Jalan Duta pada 31 Disember ini jam 9 malam bagi membantah kenaikan mendadak kos sara hidup di bawah pentadbiran kerajaan BN.