Sikap pemimpin utama Pas senyap isu kenaikan jumlah cabutan judi dikecam

Oleh BORHAN AHMAD

Sikap pemimpin utama Pas terhadap penambahan cabutan judi dari 8 ke 22 kali setahun terus mendapat tekanan dari pelbagai pihak khasnya bekas ahli dan pemimpin parti itu.

Ini kerana, ketika mereka dalam Pas dahulu dan selepas mereka bersama kerajaan Pakatan Harapan, Pas terus menentang judi.

Namun, sehingga kini, pelbagai helah dicari oleh pemimpin Pas untuk menghalalkan penambahan jumlah cabutan judi ke 22 kali itu selepas dikurangkan oleh kerajaan PH ketika Menteri Kewangannya adalah Lim Guan Eng kepada hanya 8 kali sebelum ini.

Sebagai Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menurunkan bilangan cabutan judi khas ini dari 22 kali ketika negara di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) (di mana Menteri Kewangannya adalah Datuk Seri Najib Razak) ke lapan kali sahaja.

Sebelum ini, ketika Pas adalah pembangkang, pengikut mereka membuat demonstrasi di depan kedai judi di Pokok Sena, Kedah (gambar) agar kerajaan PH menghentikan judi itu.

Abu Musa, bekas ahli Pas dan kini memimpin AMANAH di peringkat kawasan misalnya bertanya, “Yang 8 mu marah. Ajak tentang sekeras kerasnya.

“Yang 22 mu senyap pulak. Lagu mana fahaman islam ni,” tanya beliau menerusi facebooknya.

Husin Jan pula menulis, “tahun lepas perwakilan Pas tanya pasal RUU 355 dalam muktamar.

“Pemimpin depa kata masa jadi pembangkang semua kita nak buat. Bila jadi kerajaan kita kena ikut perlembagaan. Walaun senyap.”

“Tahun ni walaun dihadiahkan dengan cabutan judi bertambah 22 kali cabutan. Order RUU 355 barang sampai cabutan judi 22 kali.

“Dengar cerita berjuta dah pakat isi borang Pas sejak cabutan judi bertambah ni. Betoi ka?” tanya beliau menerusi facebooknya sambil berkongsi infogarik yang dibuat oleh Fahmi Reza (GAMBAR ATAS).

Sehingga kini, hanya Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas sahaja yang agak sensitif dengan pengesahan yang dibuat oleh Menteri Kewangan tentang kenaikan jumlah cabutan judi kepada 22 kali itu.

Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan, Dewan Ulamak Pas Pusat dalam kenyataannya berkata, perkembangan ini amat mengecewakan  pimpinan dan ahli kepada Parti Islam SeMalaysia (Pas) sebagai salah satu parti kompenen untuk Kerajaan Persekutuan pada hari ini.

“Peningkatan kekerapan cabutan khas ini telah seolah-olah menzahirkan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah memberi lampu hijau dalam menggalakkan rakyat Malaysia dalam kegiatan tidak bermoral ini.

“Selain ia telah dihukum sebagai haram di sisi agama Islam, ia jelas akan menyumbang kepada keruntuhan akhlak dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat,” katanya.

Kementerian Kewangan juga ditekankan agar tidak menggunakan alasan atau justifikasi untuk menambahkan pendapatan negara melalui peningkatan kekerapan cabutan khas nombor ramalan ini.

“Biarpun realitinya, negara kita masih lagi bergelut keluar dari kegawatan ekonomi kerana pandemik COVID 19, namun negara kita secara fizikalnya masih lagi berkemampuan untuk mempelbagaikan inisiatif dan usaha untuk merancakkan ekonomi negara kita tanpa bergantung kepada sektor perjudian nombor ramalan ini semata-mata.

“Saya bagi pihak DUPP mendesak Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan semula untuk tidak membenarkan peningkatan kekerapan cabutan khas nombor ramalan pada tahun ini sebagaimana yang telah diumumkan.

“Jangan dicemari usaha dan doa kita kepada Allah SWT agar dijauhi dari ujian Pandemik Covid-19 dengan membenarkan perkara mungkar ini,” katanya.