Tindakan menyimpan wang di luar sebenarnya menunjukkan mereka tidak patriotik, merugikan negara malah mencurigakan kerana ia mungkin bertujuan untuk lari cukai atau ia merupakan wang daripada hasil rasuah.
Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, kebiasaannya akaun luar pesisir seperti yang didedahkan Kertas Pandora diwujudkan untuk mengelak daripada membayar cukai selain tidak mahu orang lain tahu kewujudan akaun itu.
Menurutnya, meskipun dibolehkan untuk memiliki akaun tersebut tetapi ia perlu memenuhi undang-undang negara melalui Bank Negara Malaysia (BNM).
Begitupun, beliau mempersoalkan mengapa individu tertentu termasuk pemimpin negara mempunyai akaun tersebut seperti didedahkan Pandora Papers baru-baru ini.
“Selalunya adalah untuk lari cukai kerana duit haram dan tak mahu orang tahu. Caranya, beli syarikat termasuk nilai murah dan tubuhkan ‘shell company’ untuk labur dalam hartanah dengan jumlah wang berbilon ringgit tanpa kita tahu tapi ada didedah Pandora Papers.
“Isunya dari mana wang itu datang? Ia (akaun luar pesisir) juga digunakan penjenayah termasuk penjenayah kolar putih untuk pengubahan wang haram.
“Kebanyakan ‘penjenayah’ kewangan menggunakan syarikat cengkerang untuk menyembunyikan wang dan maklumat hak milik melalui penama yang membolehkan mereka ‘mencuci’ kekayaan diperolehi secara haram,” lapor Astro Awani.
Untuk rekod, sebanyak 118 firma luar pesisir, sebahagian besarnya didakwa melibatkan pemilik yang berasal dari Malaysia.
Dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tiga kali meminta pendedahan Kertas Pandora it dibahaskan.
Bagaimanapun usul Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.