Pihak berkuasa Singapura disarankan agar konsisten dan tegas dalam meletakkan keutamaan memelihara integriti republik berkenaan sebagai pusat kewangan global yang tersohor mengatasi kepentingan hubungan dua hala melibatkan BN dan PAP khususnya dalam isu membabitkan skandal 1MDB.
Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, sebarang tindakan ‘menyapu masalah ke bawah kapet’ akan menjejaskan reputasi Singapura malahan mengkhianati rakyat Malaysia yang bergelut dengan kebimbangan menuntut kebenaran dalam kes ini.
Iskandar merujuk kepada laporan media Singapura berkaitan kenyataan bersama oleh pihak Commercial Affairs Department (CAD) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) berhubung tindakan merampas sejumlah akaun bank yang dikaitkan dengan siasatan terhadap 1MDB, kelmarin.
“Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa kerajaan Pakatan Harapan di masa hadapan akan memastikan keadilan tertegak walau berapa lama masa yang akan diambil dalam proses siasatan dan pendakwaan. Rakyat Malaysia sememangnya berhak untuk mengetahui kebenaran,” tegas beliau.
Di samping mengalu-alukan tindakan pihak berkuasa Singapura dalam hal ini, PKR ujarnya menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Peguam Negara Switzerland yang mengeluarkan kenyataan sedang menyiasat 1MDB berhubung dana berjumlah AS$4 bilion (RM16.6 bilion) yang didakwa telah diselewengkan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan Malaysia.
“Tentunya rakyat Malaysia akan bersama dengan semua pihak yang sentiasa istiqamah menegakkan keadilan dan mendedahkan kebenaran,” ujarnya.