Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) mendesak supaya kerajaan menyingkirkan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar ekoran kegagalannya menangani pelbagai masalah yang menyelubungi pemandu teksi.
Menyifatkan Syed Hamid sebagai “makan gaji buta dan main drama”, Timbalan Pengerusi PERS1M, Kamarudin Mohd Hussain berkata, Pengerusi SPAD itu seorang yang tidak berbertanggungjawab apabila dilihat tidak prihatin dengan masa depan industri teksi negara.
Menurutnya, sikap Syed Hamid dalam menangani isu teksi haram menggunakan aplikasi Uber dan GrabCar yang berlarutan sejak tahun 2012 menyebabkan pemandu teksi telah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap Syed Hamid dan SPAD.
“Pekeliling keluaran SPAD pun beliau (Syed Hamid) tidak baca dan teliti. SPAD bakal diheret ke makamah berhubung beberapa kes, seperti pencerobohan kereta sapu Uber, pengkhianatan MyTeksi (Grabcar), permit individu yang dipajak syarikat teksi, perjanjian sewa beli dan sebagainya,” dalam kenyataannya yang turut dimuatkan di Facebook Teksi & PersimBersatu.
Mengulas penafian Syed Hamid dalam The Sun Daily kelmarin berhubung kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari bahawa SPAD tidak pernah berhubung atau berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menangani isu Uber dan Grabcar, beliau berkata kenyataan Jailani itu adalah benar.
Syed Hamid yang juga bekas Menteri Pertahanan dan Menteri Luar Negeri itu dalam laporan sama tersebut juga membidas kenyataan oleh pihak Kementerian Pengangkutan, 17 Disember lalu berkenaan isu ‘menghalalkan’ perkhidmatan Uber.
“Kenapa sejak 30 November lalu, Syed Hamid tidak pernah menyangkal kenyataan yang dibuat Datuk Jailani Johari itu, dan apa jawapan dan alasannya?
“Buat pengetahuan Syed Hamid, saya ada menyimpan satu rakaman pengakuan pihak SPAD, bahawa SPAD memang tidak menjalinkan kerjasama dengan SKMM bagi menangani penyalahgunaan aplikasi Uber dan Grabcar.
“Kenapa baru hari ini Syed Hamid ingin membidas kedua-dua kenyataan yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan, dan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi?” soal Kamarudin.
Tegas menyatakan industri teksi negara tidak memerlukan individu-individu ‘sampah’ seperti Syed Hamid, beliau berkata, pemandu teksi mahu supaya veteran Umno itu disingkirkan sebelum mereka disemai kebencian terhadap kerajaan.
“Hari ini Syed Hamid kelihatan seperti cacing terkena panas. Beliau cuba menunding jari kepada pihak lain di atas kegagalannya menjalankan tugas dengan telus dan amanah. Apakah beliau tidak sedar isu Uber dan Grabcar adalah isu yang sangat panas dan amat memerlukan perhatian serius?
“Isu Uber dan Grabcar bukanlah isu sehari dua, sudah memasuki tahun ketiga, tetapi hingga hari ini Syed Hamid dan SPAD hanya memberi alasan ‘sedang mengkaji”.
Menurut Kamarudin lagi, akhirnya pemandu teksi juga menjadi mangsa dan menderita termasuk imej diburuk-burukkan, pendapatan terjejas selain kos operasi dan sara hidup yang terus meningkat.
Najib puas hati
Syed Hamid, 71, bulan lalu mendakwa aplikasi Uber dan GrabCar yang digunakan kereta sapu kononnya tidak salah.
Sehubungan itu, Kamarudin dalam reaksinya ketika dihubungi Malaysia Dateline, 1 Disember lalu menyifatkan kenyataan tersebut seolah-olah mengambil tugas SKMM walhal SPAD harus segera tampil memaklumkan kepada SKMM untuk menyekat aplikasi digunakan teksi haram terbabit.
Walaupun Syed Hamid mendapat banyak kritikan pelbagai pihak termasuk pengguna pengangkutan awam ekoran kenaikan mendadak tambang, kontrak Pengerusi SPAD itu tetap dilanjutkan bagi tempoh dua tahun lagi berkuatkuasa 4 Jun lalu.
Kali kedua kontrak Syed Hamid dilanjutkan sejak dilantik sebagai Pengerusi suruhanjaya itu selepas bersara dari politik sebaik penubuhannya pada 3 Jun 2010 dikatakan portal berita pro-Umno, Agenda Daily sebagai rasa puas hati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan khidmat yang diberikan.