Sirul akui terima RM1 juta untuk tutup mulut, dakwa jadi kambing hitam kes Altantuya

Oleh WAN SITI AMINAH

Bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berdepan dengan hukuman mati di Malaysia iaitu Sirul Azhar Umar kembali menjadi tumpuan ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, pegawai polis yang melarikan diri ke Australia itu muncul kembali di khalayak ramai dalam satu wawancara eksklusif bersama Aljazeera English 101 East.

Dalam temu bual yang disiarkan pagi tadi, Sirul mengakui menerima wang sebanyak RM1 juta ketika di Australia daripada sumber tidak dinamakan untuk menutup mulut.

Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu juga mendakwa dijadikan kambing hitam dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 lalu.

Meskipun telah disabitkan bersalah di mahkamah, Sirul bertegas dirinya tidak bertanggungjawab atas pembunuhan wanita yang terbabit dengan skandal melibatkan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.

Sesi temu bual itu adalah penampilan pertamanya sejak dibebaskan dua minggu lalu dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia, lapor Free Malaysia Today (FMT).

Tidak mahu pulang ke Malaysia kerana khuatir akan keselamatannya, Sirul merayu kepada rakyat Australia untuk membenarkannya terus tinggal di negara tersebut.

“Saya merayu kepada masyarakat di sini untuk menerima saya. Saya berjanji kepada anak lelaki saya tidak sesekali akan melanggar undang-undang di sini. Saya (akan) patuh segalanya. 

“Saya menyedari sangat tidak selamat untuk kembali ke sana (Malaysia). Apa sahaja berlaku, saya mahu membina kehidupan bersama anak di Australia. Saya berharap masyarakat Australia menerima saya seadanya. 

“Saya bukan orang jahat. Saya cintakan Australia jauh di sudut hati, dari jiwa. Berikanlah saya peluang kedua. Satu lagi, saya mahu memohon kemaafan kepada keluarga Altantuya. Tolong maafkan saya,” katanya memetik laporan FMT.

Sirul Azhar Umar dibebaskan selepas berada dalam tahanan pihak imigresen negara itu sejak 2015 kerana Mahkamah Tinggi Australia memutuskan bahawa penahanan individu tanpa ditetapkan tempoh adalah pelanggaran undang-undang.

Lelaki berkenaan bagaimanapun tidak diusir ke Malaysia berikutan undang-undang negara itu yang tidak membenarkan mereka berdepan hukuman mati dikembalikan ke negara asal.

Sekadar info, Altantuya dilaporkan berperanan sebagai penterjemah dalam proses rundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS kepada kerajaan Malaysia.

Altantuya kemudian dibunuh oleh dua pengawal peribadi Datuk Najib Razak yang ketika itu bertugas sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan pada 18 Oktober 2006.

Susulan itu, dua anggota UTK iaitu Sirul (ketika masih berpangkat koperal) dan Cif Inspektor Azilah Hadri ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam pada November 2006 kerana membunuh Altantuya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka berdua pada 9 April 2009 lalu sebelum kedua-dua anggota berkenaan memfailkan notis rayuan.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah dan Sirul dilepas dan dibebaskan sebelum pihak pendakwaan pula memfailkan rayuan atas keputusan itu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan kemudian sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas mereka selepas membenarkan rayuan pendakwaan, pada 13 Januari 2015.

Sirul Azhar bagimanapun telah meninggalkan Malaysia pada 2014 ketika kes masih dalam rayuan dan tidak pulang ketika hukuman dijatuhkan Mahkamah Persekutuan.

Baca juga: Merdeka Center dakwa prestasi Anwar merosot, sekali brother ni buka cerita sebenar