Sirul, Peguam Negara tutup ‘tirai panas’ Januari 2016

Oleh BORHAN AHMAD

Pengakuan video Sirul AzharBulan pembuka tirai 2016 yang berakhir semalam menyaksikan Malaysia panas dengan pelbagai isu politik dan ekonomi. Antara paling mencuit perhatian adalah penampilan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar Sabtu lalu dengan pengakuan yang dilihat mengundang lebih banyak spekulasi orang ramai.

Sirul dalam video itu membuat pengakuan kononnya Perdana Menteri, Najib Tun Razak tidak terbabit sama sekali dalam kes pembunuhan berprofil tinggi model Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang berlaku pada 2006 lalu.

Tidak cukup dengan isu berlarutan lebih sembilan tahun itu, Najib yang juga Presiden Umno paling banyak diselubungi skandal dan kontroversi setakat ini terus
menghangatkan polemik dalam kalangan rakyat berhubung isu ‘derma’ RM2.6 bilion dan SRC International.

Media sosial rancak dengan kritikan dan kecaman netizen sepanjang bulan lalu ekoran Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali pada 26 Januari lalu mengesahkan Najib tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah dalam kes berkenaan sekaligus menutup tiga fail penyiasatan ke atas Najib.

Keputusan berkenaan yang sekaligus menghalang Menteri Kewangan itu didakwa bagaimanapun dilihat mengundang reaksi tidak selari di pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Esoknya, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohd Zain dilaporkan sebagai berkata,pihaknya berkemungkinan besar akan merayu kepada Apandi.

Namun, bagi Tun Dr Mahathir Mohamad usaha SPRM untuk menyemak semula keputusan oleh Peguam Negara yang secara mengejut ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu itu sebagai tidak akan berjaya.

Kepincangan tata kelola dan urus tadbir yang baik di bawah pentadbiran Najib terus hangat diperkatakan dengan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipengerusikan ‘orang politik’ iaitu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Selepas seminggu viral di aplikasi laman sosial termasuk WhatsApp berkenaan ketidakupayaan TH membayar dividen pada tahun ini kepada jutaan pendeposit,
pengurusan tertinggi institusi itu tampil memberi jaminan simpanan pendeposit adalah selamat.

Namun, di sebalik penafian demi penafian itu, rakyat dilihat lebih yakin dengan pendedahan realiti sebenar status rizab kewangan TH seperti didedahkan Gabebor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz melalui dua suratnya pada 23 Disember kepada Azeez dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Bulan Januari lalu juga melakar sejarah penting masa depan ekonomi Malaysia pada tahun mendatang serta kedaulatan dan maruah negara.

Dibimbangi banyak pihak apabila rakyat negara ini yang majoritinya berpendapatan rendah dan sederhana terjebak dalam risiko besar apabila menjelang Maghrib, 27 Januari lalu, usul penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dipersetujui oleh 127 Ahli Parlimen manakala 84 lagi menolak.

Keputusan itu pastinya mengundang rasa kecewa sebahagian besar rakyat melalui gerakan protes sebelum ini termasuk Sidang Kemuncak TPPA 2016, 9 Januari lalu di Shah Alam yang turut dihadiri Tun Mahathir serta himpunan bantah TPPA di ibu negara, 23 Januari lalu.

Ketika pihak kerajaan menyakinkan TPPA tidak menjejaskan kepentingan Bumiputera dan kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, pihak pembangkang menganggap perbahasan yang hanya berlangsung dua hari mulai 26 Januari lalu dilihat tidak mencukupi bagi membincangkan perjanjian dengan dokumen yang tebalnya lebih 6,000 muka surat itu.

Pembentangan semakan Bajet 2016 oleh Najib pada 28 Januari lalu pula dengan 11 langkah yang didakwanya dapat menjimatkan sebanyak RM9 bilion bagaimanapun mengundang kritikan banyak pihak.

Ini termasuklah langkah perbelanjaan berhemat yang didakwa Najib jelas tidak merangkumi pemotongan sejumlah peruntukan yang besar untuk Jabatan Perdana Menteri sebelum ini seperti dibangkitkan Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad.

Bahkan, semakan Bajet 2016 itu menerima bantahan daripada dua kesatuan pekerja terbesar di negara ini iaitu Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) serta Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Cuepacs yang mewakili keseluruhan 13 juta kakitangan awam dan pekerja swasta.

Mereka bimbang langkah Putrajaya memotong caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara automatik sebanyak tiga peratus mulai Mac depan akan menjejaskan dana persaraan pekerja terbabit.

Ketika kemelut kejatuhan harga minyak mentah dunia yang turut memberi impak besar kepada pendapatan negara, suhu politik nun di utara tanah air semakin memuncak ekoran krisis kedudukan Menteri Besar, Mukhriz Mahathir yang mahu Umno-BN gantikan.

Sejak kepimpinan Umno Kedah kononnya hilang keyakinan terhadap kepimpinan anak Mahathir itu bermula sidang media tergempar, 20 Januari lalu, nada akhbar perdana yang pro rejim dilihat memihak kepada cubaan ‘rampasan kuasa’ yang dihalalkan itu berbeza ketika isu pertukaran Menteri Besar Selangor pada 2014 lalu.

Antaranya, Mingguan Malaysia semalam melalui ruangan pengarangnya menulis, “Awang percaya Mukhriz politikus budiman yang menerima hakikat naik turun dalam politik”.

Bulan Februari ini pastinya diwarnai dengan senario politik dan ekonomi yang akan terus hangat termasuk TPPA yang dijadualkan akan ditandatangani pada 4 Februari ini di New Zealand.

Selain itu, pentas politik khususnya di pihak PKR, Pas dan Amanah dijangka kembali bergegar memandangkan bulan ini menyaksikan ulang tahun peristiwa besar tetapi mendukacitakan bagi ketiga-tiga parti berkenaan secara khususnya dan Pakatan Harapan yang bangkit selepas Pakatan Rakyat terkubur.

Genap setahun Datuk Seri Anwar dipenjara pada 10 Februari ini juga cukup setahun perginya Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menghadap Ilahi pada 12 Februari tahun lalu.

Sepanjang tempoh singkat itu menyaksikan Pas berpecah dan dilihat hilang arah sebaliknya kemunculan Parti Amanah Negara (Amanah) mendapat sambutan ramai bersama agenda politik sihat serta peduli rakyat dengan meneruskan perjuangan Islam melalui pendekatan progresif dan dinamik.