Demi menunaikan harapan insan bergelar bapa, seorang penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pulang semula ke institusi itu bagi menduduki peperiksaan akhir selepas menyelesaikan pengebumian arwah ayahnya.
Pemuda terbabit difahamkan menerima berita kematian ayahnya sebelum sempat menjawab kertas peperiksaan terakhir di USIM dan berkesempatan untuk membantu menguruskan jenazah.
Setelah urusan pengebumian ayahnya itu selesai, pelajar tahun akhir di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah terbabit memutuskan untuk pulang semula ke USIM bagi menduduki peperiksaan akhir.
Kisah penuntut berkenaan dikongsikan sendiri oleh pihak USIM menerusi satu hantaran video dimuat naik di akaun TikTok milik institusi terbabit untuk memberikan inspirasi kepada pelajar lain.
“Siswa USIM tekad menghadiri peperiksaan akhir, selepas kebumikan arwah ayahnya. Penuntut terbabit iaitu Abdul Razak Hazman merupakan pelajar tahun akhir di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM.
“Walaupun diberi pilihan untuk menduduki Peperiksaan Gantian oleh pihak universiti. Beliau tetap bertekad untuk meneruskan peperiksaan untuk menyempurnakan pengajiannya.
“Demi menunaikan harapan arwah ayah yang ingin
melihat beliau berjaya. Semoga keazaman beliau menjadi inspirasi buat kita semua,” tulis pihak USIM dalam keterangan video tersebut.
Dalam perkongsian sama, pihak USIM turut memuat naik satu tangkap layar memaparkan pesanan mesej terakhir yang diterima oleh pelajar berkenaan daripada ayahnya mengenai pembelajarannya di universiti.
Berdasarkan mesej tersebut, sang bapa memaklumkan akan mendoakan anaknya agar sentiasa berjaya dalam pengajian di kampus dan kehidupannya kelak ketika menunaikan umrah sunat.
“Mesej terakhir arwah ayah turut menyuntik semangatnya untuk terus berjaya. Arwah ayah pasti bangga melihat keazaman anaknya ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT. Al-Fatihah,” kongsinya lagi.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna merasa kagum dengan semangat pelajar terbabit menghadapi kehilangan insan tersayang di saat genting dalam hidupnya.
Ramai juga pengguna TikTok tampil mendorong pelajar terbabit supaya tetap kuat meneruskan kehidupan selain mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti kerana memberi peluang untuk menduduki peperiksaan.
“Takziah. Ayahnya pasti berbahagia di sana sebab adanya anak yang soleh macam ini. Terima kasih kepada pihak universiti kerana berikan peluang kepada pelajar itu jalani peperiksaan juga. Bertimbang rasa,” kata seorang pengguna.
“Sungguh kuat jiwa kau, anak. Daku masih lagi merasai sakitnya kehilangan itu. Air mata ini belum kering sehingga kini. Andai digalangi rindu, titiplah doa tulus buat penawarnya.” Kongsi pengguna lain berkongsi rasa simpati.
Baca juga: Thailand kambus kesemua 64.7 tan durian mereka selepas ditolak China, apa dah jadi?