Siti Nurhaliza berdoa agar tak perlu nyanyi lagi 1 hari nanti, berhasrat nak duduk Makkah

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyerahkan segala urusan termasuk mengenai kerjaya di dalam dunia hiburan terutamanya di bidang nyanyian kepada Allah SWT.

Menerusi satu perkongsian di platform TikTok, penyanyi berusia 46 tahun itu tidak menafikan bahawa suara yang dialunkan ketika bernyanyi boleh menjadi aurat untuk seseorang wanita beragama Islam.

Oleh yang demikian, pemilik nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin itu mengambil keputusan untuk berserah kepada Tuhan sepenuhnya berhubung perjalanannya di dalam dunia seni selama ini.

Perkara berkenaan dipercayai didedahkan oleh pelantun lagu Anta Permana itu di dalam satu program bual bicara yang mana sedutan rakamannya dimuat naik pengguna TikTok di akaun miliknya.

“Apa sahaja kita buat, niat kerana Allah. Kadang-kadang itu kalau nak menyanyi pun, saya akan ingat Allah juga. Walaupun saya tahu, ada yang cakap menyanyi atau suara itu aurat. Jadi saya serahkan semua kepada Allah,” katanya dalam perkongsian itu.

Menerusi rakaman berdurasi satu minit dua saat itu juga, penyanyi yang lebih mesra disapa sebagai TokTi terbabit turut berkongsikan doa dipanjatkannya agar tidak perlu lagi bernyanyi di atas pentas suatu hari nanti.

Siti Nurhaliza juga mengakui bukan sahaja ingin berhijrah namun turut menyimpan harapan untuk berpindah ke Tanah Suci Makkah suatu hari nanti bagi menghabiskan sisa hidupnya di situ dan memberi fokus kepada ibadah.

“Saya sentiasa berdoa supaya suatu hari nanti, tidak perlu lagi berada di atas pentas untuk menyanyi. Mungkin saya boleh buat kerja-kerja lain termasuklah tugas amal. Saya juga memiliki impian untuk duduk di Makkah.

“Saya mahu menghabiskan usia di sana. Itu adalah impian setiap orang. Saya juga macam itu. Apa-apa pun, kita yang merancang. Namun Allah yang menentukan. Akhirnya kita minta husnul khatimah.

“Seseorang itu tidak dinilai melalui pemulaannya tetapi pengakhiran yang terbaik. Jadi sama-samalah kita berdoa agar mendapat khusnul khatimah.” Ujar Siti Nurhaliza lagi dalam perkongsian sama.

Sekadar info, husnul khatimah membawa maksud suatu kematian yang mana penyudah kehidupan seseorang itu berada dalam keadaan terbaik selain turut diiringi dengan keredaan daripada Yang Maha Esa.

Antara komen-komen yang ditinggalkan oleh peminat berhubung pendedahan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Baca juga: Lelaki rasa tertipu beli kereta terpakai berharga RM120k tapi rosak tak sampai 24 jam guna