Skandal seks pemimpin: PPBM jangan pandang remeh, pilih kasih tangani dakwaan

Oleh MALAYSIADATELINE

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan Dakwaan skandal seks terhadap dua pimpinan utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak harus dipandang remeh dan parti itu perlu lebih proaktif untuk mematikan serangan Umno menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14.

Bekas ahli parti itu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, PPBM mesti kelihatan bersih, adil dan saksama dalam menangani dakwaan terhadap pemimpinnya.

“Semua pihak jangan pandang remeh pada isu ini. PPBM mesti mengambil tindakan proaktif secara bernas untuk mematikan serangan Umno terhadap isu ini di musim pilihan raya umum kelak. Ini pasti berlaku.

“PPBM juga tidak boleh nampak seolah-olah amalkan dasar pilih kasih.

“Pada hemat peribadi dan pandangan ikhlas saya demi kebaikkan kelangsungan hala-tuju parti itu, presidennya pun mesti membersihkan nama serta imej beliau juga,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamaruddin Md Nor semalam dipetik berkata, jawatan ketua srikandi parti itu akan dilantik dalam masa terdekat.

Ini ekoran dakwaan Anina bahawa beliau dimaklumkan pelucutan jawatannya itu  beberapa hari lalu oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agungnya, Datuk Shahruddin Md Salleh.

Ia dipercayai ada hubungkait dengan dakwaan  skandal seks yang didedahkan pembantu peribadi Anina melalui laman facebook menjadi viral di media sosial beberapa minggu lalu. Bagaimanapun Anina menolak dakwaan itu sebagai perkara biasa dala dunia politik.

“Sekiranya Anina tidak dilantik mengetuai wanita parti itu disebabkan viral dakwaan skandal seks beliau ramai rakyat di peringkat akar umbi turut bertanya tentang kedudukan tuduhan kes Muhyiddin dengan isteri orang pada suatu masa dahulu,” ujarnya.

Justeru menurut Khairuddin lagi sikap Muhyiddin yang mengambil pendekatan mendiamkan diri dalam isu sama yang sedang menyelubungi dirinya tidak seharusya berlaku.

“Kalau PPBM ingin cemerlang ianya bukan sahaja mesti bersih tetapi juga harus kelihatan bersih.

“Di peringkat akar umbi ramai orang sedang bercakap mengenai isu presiden.

“Majlis tertinggi parti mesti mengambil satu pendekatan tegas ke arah untuk membersihkan imej parti yang semakin tercalar kebelakangan ini.

“Selaku presiden parti, Tan Sri Muhyiddin juga tidak harus dikecualikan dari membersihkan namanya dari isu sama yang sedang membelenggu imejnya,” ujarnya.

Tegas Khairuddin lagi, Pakatan Harapan harus mempertimbangkan untuk tonjolkan calon-calon muka baru dari kalangan tokoh pemimpin muda sebagai ‘probable candidate’ untuk jawatan perdana menteri sekiranya barisan pembangkang memenangi PRU 14 kelak.