Skim air percuma Selangor dilanjut dua tahun lagi

Oleh ARIF ATAN

Skim Air Darul Ehsan (SADE) dilanjutkan bagi tempoh dua tahun lagi, bermula Januari depan.

SADE yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2020 adalah penjenamaan semula Program Pemberian Air Percuma, yang dilaksanakan kerajaan negeri Selangor sejak 1 Jun 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim, berkata pendaftaran bagi program berkenaan juga dibuka sepanjang tahun.

Jelasnya, sejumlah 2,544,196 juta akaun domestik Air Selangor direkodkan sehingga 31 Oktober lalu dan sejumlah 1,238,314 akaun mendaftar e-bil.

“Dalam tempoh yang sama, jumlah penerima SADE adalah sebanyak 287,181 daripada jumlah yang disasarkan oleh kerajaan negeri iaitu 620,000 iaitu bersamaan 46 peratus.

“Penerima SADE yang sudah mendaftar e-bil adalah sebanyak 124,864 akaun daripada keseluruhan 287,181 akaun,” katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Izham berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lee Kee Hiong (PH-Kuala Kubu Bharu) berkenaan pelanggan domestik Air Selangor.

Mengulas lanjut, Izham berkata, berikutan jumlah penyertaan rakyat dalam SADE yang agak rendah, program menggalakkan rakyat berdaftar akan dilaksanakan sepanjang tahun.

“Promosi secara berkala akan dilaksanakan, termasuk membabitkan pejabat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) serta turut diperluaskan ke media sosial bagi meningkatkan penyertaan rakyat dalam skim ini,” katanya.

Permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui laman web Sistem Smart lnisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) www.ssipr.selangor.gov.my atau mengisi Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan.