Isu kemiskinan haid adalah isu besar buat wanita fakir miskin yang tidak mampu membeli tuala wanita, ini dipersetujui Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang menggesa majikan swasta berganding bahu bersama-sama Kementerian Kesihatan (KKM).
Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman memaklumkan dengan melaksanakan inisiatif pemberian tuala wanita secara percuma kepada pekerja wanita, ia dapat menangani isu kemiskinan haid.
Beliau turut menambah bahawa golongan wanita turut menggembleng tenaga bagi menyumbang kepada peningkatan ekonomi keluarga dan negara lapor Bernama.
“Justeru penjagaan kesihatan wanita di negara ini perlu dititikberatkan dan seharusnya bermula dari penjagaan asas diri seperti kebersihan sewaktu haid,” katanya dalam satu kenyataan.
MEF dalam masa sama juga menyokong supaya kempen dan program pemberian tuala wanita secara besar-besaran oleh KKM diberikan peruntukan khusus dalam Bajet 2023.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa semalam melaporkan bahawa KKM akan memulakan inisiatif pemberian tuala wanita percuma bagi menangani isu kemiskinan di negara ini.
Baca Juga: Kerja baik pulih perkhidmatan telekomunikasi Nanga Ngungun dijangka siap tengah hari ini – Fahmi
Baca Juga: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awan ditamatkan berkuat kuasa hari ini