Kejatuhan harga minyak, komoditi dan kelemahan nilai ringgit melatari ekonomi negara sepanjang tahun 2015 dengan pada masa sama berlaku kenaikan mendadak kos sara hidup rakyat akibat pelbagai kenaikan harga kesan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Kesan bebanan rakyat ini dapat dilihat daripada pengumuman kerajaan, 28 Disember lalu berhubung pembentukan satu jawatankuasa baharu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mengatasi kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
Ekoran kemerosotan harga minyak global yang bermula sejak pertengahan tahun 2014 lagi, penstrukturan semula Bajet 2015 pada Januari lalu dilakukan selain semakan dan pengumuman pelbagai pelarasan harga dan rancangan pemotongan subsidi.
Jangkaan industri minyak dan gas stabil sepanjang tahun ini juga meleset apabila memasuki tahun kedua harga minyak global terus menjunam lebih 50 peratus dengan harganya pada masa ini diniagakan dalam julat AS$35 satu tong (penanda aras Brent).
Walhal, Bajet 2016 yang dibentangkan di Parlimen Oktober lalu adalah bersandarkan unjuran harga minyak mentah AS$48 satu tong sekaligus menyaksikan Malaysia sebagai negara pengeluar berdepan dengan risiko luar jangka tahun depan.
Akibatnya, banyak sektor berdepan situasi genting rentetan kedudukan harga minyak mentah global yang susut ke paras terendah dengan mangsa paling kritikal adalah golongan pekerja.
Tidak sedikit syarikat dan pemain industri termasuk sektor perkilangan dan perkhidmatan mengambil langkah pemotongan kos termasuk memberhentikan pekerja atau memindahkan operasi ke negara lain.
Sejak Ogos lalu misalnya, seramai 255 pekerja syarikat pengeluar kereta Naza Automotive Manufacturing (NAM) antara kelompok pekerja industri pemotoran yang telah diberhentikan dalam tempoh 24 jam manakala CIMB pada Mei lalu mengumumkan untuk melaksanakan langkah pengurangan pekerja melalui Skim Pemisahan Bersama (MSS) yang menjejaskan kira-kira 2,000 pekerja CIMB Group Holdings Bhd di Malaysia dan Indonesia.
Kesuraman industri minyak dan gas (O&G) turut mengheret risiko ke atas lebih 3,200 pengusaha stesen minyak dengan 70 peratus daripada mereka terdiri daripada Bumiputera yang dilantik syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Caltex, Petron dan BHP.
Persekitaran perniagaan dan operasi yang mencabar sepanjang tahun ini juga menyaksikan industri insurans am setakat Jun lalu misalnya, mengalami peningkatan perlahan sebanyak 2.3 peratus berbanding pertumbuhan 6.4 peratus bagi tempoh sama pada 2014.
Penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antara kelompok terpukul dengan ketidaktentuan ekonomi tahun ini. Ancaman terhadap daya tahan PKS di negara ini juga dibimbangi banyak pihak di sebalik Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang menyaksikan kunjungan Presiden AS, Barrack Obama tahun ini dan 2014 lalu.
Hal ini kerana hanya kira-kira 19 peratus atau 123,000 PKS di negara ini terlibat dalam eksport manakala 81 peratus terlibat dalam pasaran tempatan sahaja.
Pada masa sama, tahun ini juga menunjukan kemerosotan tujuh peratus kepada 29,814 permohonan dan pendaftaran harta intelek sehingga November lalu sekaligus menjadi parameter dalam mengukur kemuraman ekonomi negara.
Lebihan dagangan tidak mengalir kepada rakyat
Meskipun Malaysia mencatatkan lebihan dagangan berjumlah RM22.2 bilion dalam suku ketiga dengan eksport kasar dikatakan kembali pulih dengan mencatat pertumbuhan 5.5 peratus, manakala import kasar meningkat 2.9 peratus tetapi impak positif daripada perkembangan tersebut dilihat tidak sampai kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
Kuasa pengguna terus merosot ditambah kesan pemotongan subsidi, pengurangan rebat tarif elektrik, kenaikan kadar tol lebuh raya serta tambang pengangkutan awam paling ketara dirasai keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
Perbelanjaan berkali ganda untuk persediaan kelengkapan persekolahan anak-anak bagi akhir tahun ini diakui ramai ibubapa memandangkan keperluan sekolah tidak dikecualikan daripada GST.
Walaupun purata kadar inflasi sekitar 2.0 peratus setakat November lalu berbanding 3.2 peratus tahun 2014 dan disifatkan sesetengah penganalisis ekonomi sebagai ‘tekanan inflasi agak terhad’ tetapi majoriti pengguna sama ada di bandar dan luar bandar dihimpit dengan harga barangan keperluan yang semakin melambung.
Kemungkinan peningkatan tekanan inflasi domestik kepada paras 3.1 peratus pula tidak mustahil dengan jangkaan kerajaan pada tahun 2016 akan mengurangkan subsidi pelbagai barangan secara berterusan walaupun hasil kutipan GST oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) setakat pertengahan Disember ini melebihi sasaran iaitu sebanyak RM30 bilion.
Tahun 2015 juga menyaksikan pertambahan rakyat miskin di negara ini apabila Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) merekodkan seramai 540,000 keluarga di seluruh negara tergolong dalam kategori berkenaan walaupun dikatakan ada kaitan dengan keputusan kerajaan menaikkan paras pendapatan garis kemiskinan (PGK) daripada RM850 kepada RM950 sebulan bermula tahun ini.
Hutang isi rumah mencatatkan pertumbuhan 7.6 peratus dengan pinjaman perumahan terus menjadi komponen terbesar manakala kejatuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) turut memberi tempias kepada peningkatan beban biaya hidup penuntut Malaysia di luar negara.
Pengurangan peruntukan Bajet 2016 daripada RM15.785 bilion kepada RM13.378 bilion untuk sektor pendidikan tinggi juga dapat dilihat penyesuaian kerajaan terhadap situasi getir ekonomi negara. Sumber pendapatan golongan penoreh serta pekebun kecil kelapa sawit juga terjejas ekoran masih terus dihambat kemelesetan harga komoditi.
Bahkan pengumuman kerajaan untuk menaikkan harga gas asli mulai esok dibimbangi akan melonjakkan tarif elektrik seterusnya harga barang memandangkan separuh penjanaan elektrik di Malaysia menggunakan gas asli sebagai bahan api.