Sosio-ekonomi Melayu membimbangkan dengan lonjakan penceraian

Oleh ARIF ATAN

Laporan Kosmo semalam bahawa kes perceraian orang Islam sejak pandemik Covid-19 (Januari 2020 – Jun 2021) melonjak sebanyak 71,806 kes adalah amat membimbangkan.

Jelas, pandemik ini bukan sahaja menimbulkan krisis kesihatan dan ekonomi, malah turut mengheret negara ke krisis sosial.

Kebiasaanya, faktor ekonomi akibat kehilangan pendapatan boleh membawa kepada perceraian dan keadaan ini boleh meningkatkan masalah tekanan hidup yang sedang dihadapi rakyat hari ini.

Walaupun perceraian diizinkan dalam Islam, namun kesan sosio-ekonomi kepada keluarga yang terlibat yang membimbangkan. Kesan terburuk adalah kepada anak-anak.

Jika perceraian tidak diuruskan dengan baik dan bersefahaman, kebajikan anak-anak boleh terabai dari sudut perbelanjaan (nafkah), tumpuan pendidikan yang terjejas dan kesan psikologi dan pemikiran anak-anak.

Lebih meruncing

Anak-anak yang dahagakan kasih sayang kedua-dua ibu bapa akan tertekan jika terpaksa bergilir-gilir setiap hujung minggu untuk bersama ibu atau bapanya. Kesan yang lebih meruncing jika ada pasangan yang mengabaikan anak-anak.

Lonjakan kes perceraian ini akan menjejaskan sosio-ekonomi orang Melayu kerana pasangan yang diceraikan terutama ibu tunggal terpaksa bekerja (bagi yang tidak bekerja) untuk menampung keperluan hidup keluarga dan ini akan menjejaskan tumpuan kepada anak-anak di rumah.

Jika kebajikan anak-anak terabai terutama pendidikan, ia akan menjejaskan pembangunan modal insan anak-anak Melayu yang berkualiti bagi mengharungi kepesatan pembangunan negara.

Justeru, badan berkuasa dan institusi Islam seperti Pusat Zakat, Baitulmal dan JKM perlu mengkaji bentuk bantuan baharu atau menetapkan satu metrik baharu untuk memastikan kebajikan anak-anak terjamin terutama dari sudut perbelanjaan harian dan pendidikan.

Kementerian Wanita dan Keluarga perlu mengambil serius masalah perceraian ini dan perlu mengadakan pelbagai program yang boleh menyedarkan pasangan-pasangan tentang impak perceraian.

Pasca perceraian

Bagi golongan wanita yang bercerai, tuntutan terhadap bekas suami boleh difailkan di Mahkamah Syariah di daerah masing-masing.

Tuntutan ini melibatkan tuntutan nafkah iddah (tiga bulan), tuntutan mut’ah (pampasan perceraian), tunggakan nafkah (jika tiada nafkah ketika perkahwinan), nafkah anak-anak dan harta sepencarian sepertimana yang termaktub di dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam dan hukum syarak.

Penyelesaian baik dan bersefahaman antara pasangan pasca perceraian amat penting supaya kehidupan diteruskan dengan tersusun (clean break principle).

Bagi yang tidak mampu, pasangan bercerai boleh mendapatkan khidmat guaman percuma daripada Jabatan Bantuan Guaman (JBG) di Wisma Persekutuan.

Namun, masalah yang sering menghantui pasangan bercerai adalah kegagalan bekas suami untuk membayar tuntutan setelah keputusan dan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah.

Masalah ini perlu diselesaikan di peringkat dasar oleh kerajaan di mana undang-undang yang lebih berkesan dan praktikal perlu digubal supaya kepentingan wanita dan kanak-kanak dalam negara ini terus terbela.