Kebanyakan peniaga makanan yang menjual melalui aplikasi dalam talian sering memikat pelanggan dengan gambar yang kelihatan menyelerakan, namun realitinya jauh berbeza apabila pesanan tiba.
Sudahlah perlu membayar harga yang mahal, pelanggan pula menerima hidangan yang hambar dan mengecewakan.
Seorang pengguna Threads, atiqahmowari_ berkongsi gambar sotong dihiris nipis hingga hampir tidak kelihatan dan bekas makanan lebih dipenuhi sayur berbanding lauk yang dijanjikan.
Bukan sedikit harga yang dibayar, RM17.90 belum termasuk caj penghantaran dikeluarkan dengan harapan mendapat hidangan setimpal, namun apa yang diterima ternyata sangat mengecewakan dan jauh daripada jangkaan.
“Kepada pemilik, jangan berniaga kalau macam ini. Kalau saya tidak demam, saya akan keluar sahaja untuk beli sendiri.
“Tetapi saya order (buat pesanan dengan awak) dan ini yang saya terima. Saya tidak halalkan duit yang saya bayar kepada kedai awak dan saya tidak akan makan makanan seperti ini.
“Kalau ada yang kata saya tidak bersyukur, rasanya layakkah saya terima makanan begini,” kongsinya di Threads.
Rata-rata pengguna Threads setuju bahawa harga diletakkan tidak setanding kualiti makanan yang dibayar
“Kemain mahal, tapi rupa makanannya begitu sahaja. Inilah jadinya bila orang yang tak tahu berniaga makanan pun mahu berniaga juga,” komen Aisha.
“Eh, kalau bab makan memang saya sensitif. Terus rasa nak marah. Harga jual sampai RM17.90, tapi sotong nipis macam getah rambut saja,” komen pengguna Threads lain.
Baca juga: Sunway Square Mall tarik balik polisi mesra haiwan selepas dihujani kritikan