Speaker tidak boleh berat sebelah, kata Pandikar Amin

Oleh BORHAN AHMAD

Speaker dan Pegawai Dewan Negara perlu bersikap adil dalam menjalankan tugas di Parlimen.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata seseorag speaker perlu tahu bila beliau perlu memberi penekanan terhadap mandat yang diberi kepada kerajaan yang memerintah untuk mentadbir dengan sewajarnya.

“Speaker juga perlu sedar tentang hakikat bahawa kerajaan juga perlu dipertanggungjawabkan bagi tindakannya,” kata beliau.

Beliau berkata suara pembangkang semasa perbahasan juga adalah satu proses kebertanggungjawaban.

Pandikar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Cabaran Yang Mendepani Kebebasan Speaker’ pada Persidangan Speaker dan Pegawai Dewan Negara Komanwel (CSPOC) Ke-23 di sini hari ini.

Sementara itu, berucap tentang peranan Speaker dalam menjamin keselamatan Parlimen dan presintnya, Speaker House of Commons Kanada, Geoff Regan berkata keselamatan Parlimen kini semkin penting, sejajar dengan perubahan peranan institusi itu dan Speakernya.

Sambil merujuk kepada pendapat Speaker sebelum beliau, Andrew Scheer, Regan, yang baru dilantik menduduki jawatan itu, berkata peranan Speaker dalam melindungi hak dan keistimewaan Dewan itu serta anggotanya merupakan suatu perkara yang perlu diberi keutamaan.

“Saya juga sependapat dengan beliau (Scheer) bahawa cara untuk memastikan wujudnya keseimbangan antara persekitaran selamat dan hormat terhadap hak dan keistimewaan ialah anggota yang bertanggungjawab melindunginya perlu mengenali orang yang mereka beri khidmat serta sentiasa peka dan responsif terhadap kedudukan dan harapan mereka yang unik,” katanya.