SPR bincang tarikh PRN Sarawak 24 November ini

Oleh ARIF ATAN

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan bahawa satu Mesyuarat Khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 akan diadakan 24 November 2021 (Rabu) bermula jam 9.00 pagi di Kuching.

Perkara itu diberitahu oleh Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi satu kenyataan, hari ini.

“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DUN Sarawak .

“Ia seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain persiapan-persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya.

Beliau berkata satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut selesai.

Minggu lalu, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan Proklamasi Darurat (Sarawak) P.U. (A) Seksyen 2 (2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 (P.U.(A)324.

Berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diiungkaikan.

Di bawah Seksyen 3(4) Ordinan yang sama, berkehendakkan, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

Proklamasi Darurat di Sarawak telah dibatalkan pada 3 November lalu yang mana perkara itu disahkan mengikut Warta Kerajaan Persekutuan Proklamasi Darurat (Sarawak) (Pembatalan 2021) dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara.