Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyelaras dan menganjurkan debat secara langsung melibatkan calon-calon Ketua Menteri Melaka daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP itu berkata, penganjuran debat tanpa melibatkan penonton itu perlu memandangkan larangan berkempen secara bersemuka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Kempen PRN Melaka merupakan satu cabaran yang besar kerana sukarnya bertemu dengan pengundi berikutan larangan kempen oleh kerajaan Ismail Sabri Yaakob.
“SPR boleh mengambil teladan daripada debat secara langsung di antara Lim Guan Eng dan Wee Ka Siong baru-baru ini yang membolehkan rakyat membuat penilaian sendiri setelah mendengar hujah-hujah mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Kluang berkenaan berkata, mantan Ketua Menteri, Adly Zahari boleh mewakili PH untuk berdebat dengan calon-calon Ketua Menteri daripada gabungan-gabungan lain.
“Untuk gabungan-gabungan lain, saya tidak pasti sama ada Datuk Seri Sulaiman Md Ali atau Datuk Seri Rauf Yusoh yang akan menjadi pilihan Umno untuk menjadi Ketua Menteri.
“Saya juga tidak jelas siapa calon Ketua Menteri dari PN, sama ada Datuk Rafiq Naizamohideen atau Datuk Wira Ermieyati Samsudin.
“Namun, siapapun pilihan BN atau PN, semua calon Ketua Menteri Melaka patut berdebat secara live melalui siaran TV dan platform digital.
“Malah, calon-calon di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang utama juga patut mengadakan debat antara tiga gabungan ini,” tambah Chin Tong lagi.
PRN Melaka pada 20 November ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan gabungan parti-parti politik utama selepas PH, BN dan PN mengesahkan meletakkan calon masing-masing untuk bertanding di 28 kerusi DUN.
Dalam masa sama, sekurang-kurangnya lima kerusi akan berlaku pertandingan empat penjuru selepas Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang baru ditubuhkan menamakan lima calon di DUN Pengkalan Batu, Gadek, Duyong, Sungai Rambai dan Paya Rumput.