Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN) menggesa supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia segera mengeluarkan tatacara pengundian secara undi pos bagi rakyat Johor yang berada di Singapura sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.
Pengarah Biro Undang-Undang Johor, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, SPR juga perlu mengumumkan bila permohonan akan dibuka selaras dengan Peraturan 3(1) hingga (4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi warganegara Malaysia yang tidak dapat pulang mengundi khususnya dari Singapura.
“Ini lebih-lebih lagi apabila PRN Johor yang akan diadakan bakal melibatkan seluruh rakyat negeri Johor termasuk lebih kurang 400,000 rakyat Johor yang bekerja di Singapura.
“Hak untuk mengundi sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan hendaklah dijamin buat semua warganegara Malaysia yang layak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dilaporkan, jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas selepas pendaftaran automatik Undi18.
Ini menjadikan jumlah pengundi untuk PRN Johor meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
PRN Johor merupakan pilihan raya pertama melibatkan pengundi berusia 18 tahun ke atas, juga pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.
Mesyuarat khas berkaitan urusan PRN akan diadakan pada 9 Feb, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).