Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima tujuh laporan mengenai kesalahan pilihan raya sepanjang 11 hari kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sejak 4 Januari lalu.
Menurut Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias, laporan salah laku di bawah Akta Pilihan Raya 1954 itu dilaporkan di Balai Polis Papar dan Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort.
“Keduanya tentang kes gegantung di mana ada orang menurunkan gegantung parti dan sebagainya,” katanya pada sidang media di pekarangan Balai Polis Membakut seperti dipetik laporan Malaysiagazette hari ini.
Terdahulu beliau bersama Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak membuat tinjauan proses pengundian awal yang dibuka pada 8 pagi tadi di Balai Polis Membakut.
“Pemantauan oleh pasukan penguat kuasa kita setakat pagi tadi ada 3 kes sahaja iaitu berkaitan dengan pemasangan gegantung (menyerang) dan ia sudah diturunkan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed memaklumkan bahawa daripada sembilan pengundi awal berdaftar, enam daripadanya telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 9.30 pagi tadi.
“Sehingga kini seramai enam pengundi awal telah membuang undi kita tunggu lagi tiga orang. Kita harap boleh dapat 100 peratus pada pagi ini,” katanya lagi.