Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah tetap berpendirian bahawa pendakwaan yang dilakukan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kakitangan pusat khidmat Parlimennya adalah tindakan yang menyalahgunakan kuasa.
Beliau memaklumkan bahawa kakitangannya, Naveen K Rasiah dan mantan kakitangan pusat khidmatnya, Nico Kam telah selesai dijamin hari ini sebanyak RM10,000 selepas mereka kononnya didakwa atas kesalahan rasuah empat tahun lalu.
Katanya, kes tersebut telah disiasat hampir empat setengah tahun dahulu iaitu pada September 2017 dan patut ditutup sebab tiada apa-apa tindakan pendakwaan diambil oleh SPRM untuk tempoh itu.
Sivarasa sebelum ini berkata, pendakwaan dilakukan SPRM ke atas pegawainya adalah sebagai balas dendam kerana beliau membangkitkan isu kontroversi membabitkan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Parlimen pada 14 Disember 2021.
“Semua urusan di Mahkamah untuk hari ini telah disempurnakan dan mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin. Serupa saya sebut semalam, saya anggap pendakwaan ini sebagai penyalahgunaan kuasa. Kes ini memang tidak berasas.
“Kes ini hanya dihidupkan selepas saya bangkit isu pemilikan saham Tan Sri Azam Baki bulan lepas di Parlimen. Inilah kes balas dendam terhadap saya. Staff saya telah dijadikan mangsa.
“Naveen dan mantan staff saya Nico akan mengemukakan pembelaan mereka dengan tegas di Mahkamah. Mereka tidak bersalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada semalam, Sivarasa mendakwa pendakwaan secara tiba-tiba terjadap kakitangannya adalah berniat jahat, pendakwaan palsu dan tidak berasas.
Beliau juga menyifatkan SPRM kini menyimpan dendam peribadi terhadap dirinya.