Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyatakan pendirian mereka untuk terus menyokong kepimpinan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya agensi itu.
Menerusi kenyataan dibuat Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali bersama dua lagi anggota tertinggi, mereka berpendirian bahawa tohmahan dan serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.
“Kami menggesa agar semua pihak menghentikan kemelut ini dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.
“Warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi ketua pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta,” katanya dalam satu memorandum yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan tersebut dibuat bersama Norazlan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme, Datuk Junipah Wandi.
Azam Baki kini menerima tekanan hebat untuk disiasat dan desakan ‘direhatkan sementara’ susulan kontroversi membabitkan dakwaan beliau memiliki saham bernilai jutaan ringgit dalam beberapa syarikat yang tersenarai di bursa Malaysia.
Beliau bagaimanapun menafikannya dan memberitahu bahawa akaun dagangannya telah digunakan adiknya, Nasir Baki untuk membuat pembelian saham pada tahun 2015 dan 2016.
Penjelasan itu mengundang pertikaian ramai pihak yang menuntut satu badan siasatan bebas dilakukan.
Azam Baki juga dilaporkan telah mula mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam.
Saman difailkan kerana dakwaan terhadapnya telah mencemarkan reputasinya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.