SPRM: Mula-mula sahaja ‘panas’ kemudian tutup buku, kata Puad

Oleh NASUHA RAHMAN

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Dr Puad Zarkashi sudah menjangka semua pihak akan senyap seolah-olah ‘plaster’ mulut termasuk Perdana Menteri berhubung dakwaan salah laku membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, semua pihak senyap termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri yang juga tidak memberi sebarang komen setakat ini.

“Apa jadi dakwaan yang membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM? Seperti yang dijangkakan semua pihak senyap dan plaster mulut. PM juga tidak komen apa apa.

“Akhirnya kita balik amalan lapuk. Mula mula panas kemudian tutup buku dan dilupakan. Rakyat tertunggu tunggu tanpa ada “solution” konkrit,” kata beliau

Justeru katanya, amat wajar SPRM diletakkan di bawah Parlimen dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah prerogatif Parlimen, ianya bukan lagi perkenan YDP Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“SPRM tidak boleh terlalu kebal sehingga tidak ada kaedah yang transparen untuk bertindak jika terdapat dakwaan salah laku dalaman oleh orang atasan SPRM.

“Meletakkan SPRM di bawah Parlimen akan memastikan proses “semak dan imbang” SPRM lebih bebas dan telus. Ini pembaharuan institusi yang perlu diperjuangkan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Prof Dr Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) kerana mendakwa jawatankuasa itu gagal membincangkan laporan membabitkan pegawai tinggi SPRM.