SPRM perlu berapa lama lagi nak siasat skandal kapal LCS?

Oleh KIM SYAZIE

Berapa lama lagi masa yang diperlukan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagi menamatkan siasatan terhadap skandal kapal tempur pesisir  (LCS) yang melibatkan  dana sehingga RM9 bilion. 

Harus juga disedari oleh SPRM, bahawa badan kehakiman telah pun memulakan proses untuk mengembalikan kredibiliti, keabsahan dan integriti mereka. Persoalannya bilakah tindakan sedemikian akan diteladani oleh SPRM pula. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang melontarkan soalan tersebut dan meminta Azam Baki supaya melepaskan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM setelah beliau didakwa memberikan dua percanggahan mengenai siasatan SPRM terhadap skandal LCS. 

“Pada 11 Ogos 2022 SPRM telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa kertas siasatan terhadap individu yang terlibat dengan skandal LCS telah dilengkapkan dan kertas siasatan tersebut telah pun dihantar ke Pejabat Peguam Negara. 

“Sementara itu SPRM juga didakwa telah membuat cadangan mengenai pertuduhan yang patut dibawa terhadap individu-individu terbabit dan sedang menanti arahan selanjutnya selepas Pejabat Peguam Negara meneliti kertas-kertas siasatan terbabit.

“Pada pertengahan bulan Ogos pula, bekas pengarah urusan dan naib pengerusi eksekutif, Boustead Heavy Industries Corp (BHIC) Ahmad Ramli Mohd Nor telah didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah yang melibatkan RM21. 08 juta.

“Walau bagaimanapun tuduhan terbabit adalah sebelum skandal LCS serta tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan skandal ini, sebaliknya hanyalah berkaitan perolehan ketenteraan yang berlainan,” tegas beliau. 

Tambahnya, Surat Anugerah (LOA) bagi membekalkan enam buah LCS dikeluarkan pada 16 Disember 2011, sebaliknya ketiga-tiga tuduhan terhadap Ahmad Ramli adalah untuk perkara yang berlaku sebelum pengeluaran LOA tersebut. 

Ujar beliau lagi, tindakan berdiam diri Azam Baki walaupun selepas kenyataan berulang kali meminta penjelasan darinya mengenai pertuduhan yang tidak berkaitan dengan skandal LCS dan sebaliknya amat dikesali. 

Jelasnya bahawa pada 8 September, Azam turut menyatakan SPRM memerlukan lebih banyak masa untuk menyiasat skandal LCS kerana memerlukan masa untuk memanggil lebih ramai saksi, termasuklah saksi yang berada di luar negara. 

Persoalannya di sini kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri lagi, apakah akan ada jawapan dari Azam setelah sekian lama menanti mengenai skandal LCS tersebut atau Azam akan hanya membisu dalam isu ini.